Orang Kena Tuduh yang terlibat dalam kes pergaduhan di Balai Polis Meru diiringi oleh pegawai polis untuk dituduh di Kompleks Mahkamah Majistret Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 06 MAC 2026.

KLANG – Seorang kelindan dan dua pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencetuskan kekecohan dan pergaduhan di Balai Polis Meru di sini pada Isnin lepas.

P. Gopinath, 39, B. Kalaisaran, 38, dan  Magendran 44, ketika kejadian pukul 9.47 malam dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhasap seorang individu dengan menggunakan helmet dan batang besi yang mana kesalahan berkenaan tertakluk di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga lelaki turut dituduh berkelakuan tidak senonoh dalam bangunan polis iaitu berbuat bising dan bergaduh.

Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 90 Akta Polis.

Dalam pada itu, Gopinath turut dituduh dengan sengaja secara jenayah seorang individu yang mana kesalahan berkenaan boleh dihukum di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Kalaisaran juga dituduh melakukan khianat iaitu merosakkan televisyen di dalam balai polis tersebut, kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Majistret, Nor Azilah Mat kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM13,000 kepada Gopinath dan Kalaisaran bagi semua pertuduhan.

Selain itu, Magendran diperintah membayar ikat jamin sebanyak RM9,000 selain melaporkan diri ke balai polis berdekatan sekali sebulan.

Sebutan kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 25 Mei.

Pada Isnin lalu, sekumpulan lelaki bergaduh di Balai Polis Meru, Klang selepas dipercayai berebut kawasan sekuriti di tapak perumahan.

Kes dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sulfie Hassan.

Ketiga-tiga tertuduh pula diwakili peguam yang sama iaitu A. Biranta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast