KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak yang terkait dengan konflik di Asia Barat menggunakan usaha diplomatik bagi menyelesaikan konflik yang berlaku di Teluk dan Asia Barat.
Katanya, seruan berkenaan seiring dengan prinsip dwipartisan berprinsip yang telah diambil oleh Parlimen.
“Seruan itu wajar diambil dengan serius dan dihormati. Sentiasa ada suara yang menggesa pendekatan lebih tegas, tetapi sejarah jarang menyebelahi mereka yang memilih eskalasi berbanding rundingan apabila pintu dialog masih terbuka dan untuk menjaganya, ia memerlukan keberanian sebenar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, Malaysia bersedia untuk menyokong sebarang usaha untuk menghentikan permusuhan melalui rundingan.
“Saya menyeru masyarakat antarabangsa supaya bertindak dengan segera dan penuh tujuan sebelum konflik ini meragut lebih banyak nyawa dan menarik lebih banyak negara ke dalam kancahnya,” katanya lagi.
Terdahulu beliau berkata, keadaan masih amat membimbangkan di mana Bahrain, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu telah berdepan dengan serangan berulang kali.
Ketegangan kemudian merebak ke Azerbaijan, Jordan dan Turki.
Jelas Anwar keadaan tersebut mengakibatkan kemudahan tenaga, pemasangan air serta infrastruktur lain yang menjadi kebergantungan jutaan orang dalam kehidupan harian turut menjadi sasaran.
“Laluan utama minyak dan perkapalan dunia melalui perairan ini. Sebarang gangguan di sini membawa kesan yang jauh melangkaui rantau tersebut,” ujarnya.-MalaysiaGazette
















