KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong mengedarkan kurma kepada 535 warga kerja kementerian itu sempena bulan Ramadan, baru-baru ini.
Agihan kurma kepada warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merupakan tradisi Steven sejak beliau menerajui KESUMA pada tahun 2023 dan istimewanya kurma yang diedarkan pada tahun ini berasal dari wilayah Nablus, Palestin.
Kurma ini dibeli dari Pasar Palestin, sebuah kedai kecil yang beroperasi di Malaysia, diusahakan oleh komuniti Palestin yang menetap di negara ini.
Steven telah mula menyokong perniagaan tersebut sejak tahun 2019.
Menariknya, Steven meluangkan masa turun ke setiap aras bangunan kementerian untuk beramah mesra serta bertanyakan khabar warga KUSKOP, sekali gus mengeratkan silaturrahim dan memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga kementerian.
Sesi ini memberi peluang kepada warga kementerian untuk berinteraksi secara langsung dengan menteri serta berkongsi pandangan mengenai tugasan dan persekitaran kerja, di samping menghargai usaha dan komitmen warga KUSKOP.
Malah, Steven turut mengambil kesempatan meninjau pusat panggilan kementerian bagi menyantuni serta memberi semangat kepada petugas barisan hadapan yang bertugas melayani pertanyaan orang ramai setiap hari.
Inisiatif kecil ini mencerminkan semangat kemanusiaan dan kebersamaan yang sentiasa menjadi pegangan beliau khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. – MalaysiaGazette















