Muhammad Nor Hidayat Yusof, 27, didakwa di Mahkamah Majistret Segamat hari ini atas pertuduhan melakukan onani di dalam sebuah masjid.

SEGAMAT – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Majistret Segamat hari ini atas perbuatan melakukan onani dalam keadaan separuh bogel di sebuah masjid di Bukit Siput di sini, awal bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Nor Hidayat Yusof, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rahimah Abdul Majid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau iaitu beronani di hadapan seorang wanita dalam Masjid Al-Muhajirin, Bukit Siput di sini pukul 11.15 pagi, pada 4 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Muhammad Ismail memaklumkan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mencadangkan wang jaminan yang tidak terlalu tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang menetap di Kuala Nerus, Terengganu tinggal bersama-sama ibu bapanya serta 15 ahli  keluarga lain termasuk lapan adik-beradik yang masih bersekolah.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran alamat rumahnya di Kuala Nerus sepanjang tempoh prosiding kes.

Mahkamah menetapkan 28 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, pada 4 Mac lalu, tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dalam media sosial memaparkan seorang lelaki melakukan perbuatan tidak senonoh dalam keadaan separuh bogel di dalam sebuah masjid di Bukit Siput.

Kurang 24 jam selepas kejadian itu, polis berjaya menahan suspek kira-kira pukul 3.15 pagi pada 5 Mac lalu di Taman Air Biru, Pasir Gudang hasil operasi sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast