Foto: FB Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menitipkan kata-kata semangat buat beregu negara Aaron Chia- Soh Wooi Yik yang gagal menjulang trofi Kejohanan Seluruh England malam tadi.

Menurutnya, pasangan beregu nombor satu negara itu perlu terus percaya serta berjuang dan negara tetap berbangga atas pencapaian mereka.

“Hari ini mungkin belum rezeki. Tetapi perjalanan mereka masih panjang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, dalam aksi final di Utilita Arena Birmingham malam tadi, pasangan negara yang juga pilihan kedua kejohanan bertaraf Super 1000 itu terpaksa akur selepas tewas kepada gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Meskipun bermula garang apabila memenangi set pertama 21-18, namun Aaron-Wooi Yik gagal menghalang kebangkitan gandingan Korea Selatan yang juga pilihan utama kejohanan tersebut apabila tewas dua set seterusnya dengan mata 12-21 dan 19-21.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, meskipun tewas, Aaron-Wooi Yik sekali lagi memberi saingan hebat dalam kejohanan badminton paling berprestij di dunia sejak 1899 itu.

“Sejak 2019, mereka sudah tiga kali mara ke final All England.

“Bukan mudah untuk kekal konsisten di tahap ini. Ramai pemain hebat dunia pun tak pernah sampai walau sekali,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast