Tan Seng Lee

KULAI – Polis sedang memburu suspek yang menceroboh dan mencuri 22 bekas tempat simpanan abu mayat di rak simpanan Perpetual Memorial Park di Jalan Kota Tinggi -Kulai di sini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, seorang wanita yang merupakan penolong pengurus taman peringatan tersebut melaporkan kejadian berkenaan pada Jumaat lalu.

“Pengadu memaklumkan kawasan tersebut diceroboh setelah mengesan beberapa bekas tempat simpanan abu mayat di dalam rak penyimpanan hilang.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek masih belum dikenal pasti kerana kawasan kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup.

“Selain itu, tiada pengawal keselamatan dan saksi yang melihat kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menceroboh tempat perkuburan atau tempat ibadat.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerugian atau kerosakan harta benda.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kenyataan berbaur provokasi berkaitan kejadian tersebut melalui mana-mana platform media sosial sehingga siasatan selesai, bagi mengelakkan salah faham serta menjejaskan keharmonian masyarakat, katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline IPD Kulai di talian 07-6637222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast