JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati sikap tergesa-gesa, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memotong secara berbahaya menjadi punca kemalangan jalan raya.
Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, semua faktor kemalangan itu dikenal pasti daripada hasil perkongsian dibuat menerusi Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran JPJ Johor hari ini.
“Statistik hampir setiap tahun menunjukkan bahawa tempoh perayaan juga dikenal pasti antara tempoh kritikal yang mencatatkan pertambahan aliran trafik serta risiko kemalangan yang lebih tinggi berikutan pergerakan pulang ke kampung halaman dan destinasi percutian.
“Kempen ini dianjurkan sebagai inisiatif berterusan JPJ dalam memperkukuhkan tahap keselamatan jalan raya di negeri ini dan ia bukan sekadar simbolik, malah menjadi platform penting untuk menyampaikan mesej keselamatan secara langsung kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkarnain berkata, antara pengisian utama program termasuk sesi advokasi keselamatan jalan raya oleh pegawai penguat kuasa, penerangan berkaitan kesalahan utama yang sering menjadi punca kemalangan, tayangan montaj kesedaran keselamatan serta sesi perkongsian pengalaman oleh mangsa kemalangan jalan raya.
“Perkongsian ini memberi gambaran jelas tentang implikasi kemalangan bukan sahaja daripada sudut fizikal, malah emosi dan kewangan kepada mangsa serta keluarga,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran kempen itu selaras dengan komitmen JPJ Johor dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
Terutamanya ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan ketara jumlah kenderaan di lebuh raya dan jalan Persekutuan.
Selain itu kempen yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh itu turut menekankan kepentingan tanggungjawab sosial dalam kalangan pengguna jalan raya.
“Kehadiran dan perasmian oleh Exco kerajaan negeri mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong usaha mempertingkatkan keselamatan jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan di Johor.
“Hubungan kerjasama strategik antara JPJ Johor bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan strategik sektor swasta dapat diperkukuhkan melalui kempen ini,” katanya.
Kerjasama bersepadu itu penting dalam memastikan mesej keselamatan dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan kepada semua lapisan masyarakat.
Justeru, Zulkarnain berkata, JPJ Johor menyeru orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat serta merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan keletihan melampau.
Tambahnya, JPJ Johor komited untuk terus mempergiatkan usaha advokasi dan penguatkuasaan secara bersepadu sepanjang musim perayaan ini.
“Diharapkan melalui kempen ini, masyarakat akan lebih peka dan bertanggungjawab ketika berada di jalan raya demi memastikan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 dapat diraikan dalam suasana selamat, harmoni dan sejahtera,” katanya.- MalaysiaGazette
















