KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang pengarah syarikat kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah sebagai balasan menyerahkan tanah milik bekas pekerja-pekerja sebuah ladang di negeri itu bagi tujuan pembangunan komersial.
Perintah reman selama lima hari sehingga 16 Mac terhadap suspek itu dikeluarkan Majistret Mohamad Suffian Jaafar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek yang merupakan pengarah sebuah syarikat dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2025 apabila menyerahkan tanah milik 136 bekas pekerja sebuah ladang di Hulu Selangor tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka kepada sebuah syarikat pemaju.
Suspek yang juga merupakan pemegang amanah ke atas tanah seluas kira-kira 3.2 hektar (lapan ekar) itu disyaki menerima wang rasuah berjumlah sekitar RM50,000 hingga RM100,000 beberapa kali dalam tempoh lima tahun sebagai balasan membantu menyerahkan tanah berkenaan bagi tujuan pembangunan komersial bernilai kira-kira RM4 juta.
Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette















