JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membaik pulih kuarters di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan kemudahan kediaman yang lebih selesa dan selamat dapat disediakan kepada anggota polis yang berkhidmat di daerah tersebut.
“Semasa lawatan saya ke daerah Muar, saya sempat turun padang melihat sendiri keadaan kuarters polis yang telah lama uzur dan memerlukan perhatian segera.
“Terdapat beberapa unit yang rosak dan tidak dapat digunakan dengan baik, manakala kemudahan asas juga berada dalam keadaan yang kurang memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Melihat keadaan itu katanya, kerajaan negeri mengambil pendekatan ‘whole-of-nation’ dengan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan anggota keselamatan sentiasa diberi perhatian.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif meluluskan peruntukan bagi tujuan itu kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) memainkan peranan yang sangat penting dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
“Mereka bertugas siang dan malam demi memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.
“Semoga usaha ini dapat memberikan sedikit keselesaan kepada anggota polis yang terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi keselamatan Bangsa Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
















