SEBERANG JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa bagi memastikan institusi pendidikan tidak dipengaruhi unsur ekstremisme.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian juga memantau secara berterusan sebarang kemungkinan penglibatan pelajar sekolah dengan unsur radikalisme agar ia dapat ditangani dari peringkat awal.
“Kita dah serahkan perkara ini (pengaruh pelajar dengan kumpulan militan Daesh) kepada pihak berkuasa untuk siasatan.
“Dalam masa yang sama, di peringkat KPM, kita pantau semua penglibatan pelajar dalam institusi pendidikan kita supaya anasir-anasir ini tidak masuk dalam kementerian khususnya di institusi pendidikan kita.
“Justeru, kita bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan sebarang pengaruh atau tindakan yang diambil adalah selaras dengan undang-undang, selain melindungi anak-anak, para guru serta keseluruhan institusi pendidikan daripada pengaruh yang berkait rapat dengan ekstremisme dan keganasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan berkaitan penglibatan pelajar yang didakwa terpengaruh dengan kumpulan militan.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, hari ini.
Pada 6 Mac lalu, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan polis melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daesh di negara ini dengan penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur menerusi operasi khas baru-baru ini.
Kesemua suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan dalam operasi oleh Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Februari di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu. – MalaysiaGazette















