Pengunjung menikmati gulai rusa secara percuma sempena moreh perdana di Karnival Mahabbah@Bertam Square, Pulau Pinang malam tadi.

KEPALA BATAS – Lebih 1,000 pengunjung berpeluang menikmati gulai rusa cicah roti Benggali secara percuma di Karnival Mahabbah@Bertam Square di sini malam tadi.

Penganjur program, Zaini Aboo Hassan berkata, inisiatif itu bertujuan berkongsi rezeki dengan masyarakat sempena Moreh Perdana bersama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Jelasnya, sebanyak tiga ekor rusa diperoleh dari ladang di Kedah dan Kelantan bagi memastikan menu eksklusif itu dapat dinikmati lebih ramai pengunjung.

“Selain itu, kita juga membeli tambahan kira-kira 50 kilogram daging dan tulang rusa untuk mencukupkan hidangan buat pengunjung.

Zaini Aboo Hassan.

“Setiap tahun kita berusaha mencari kelainan untuk pengunjung yang datang membeli persiapan Aidilfitri di sini. Alhamdulillah, kali ini kita dapat merealisasikan satu lagi menu unik iaitu gulai rusa dimakan bersama roti Benggali, yang mungkin tidak pernah ada di tempat lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau menambah, hidangan itu dimasak sendiri oleh 15 kru karnival selama dua hari bermula daripada melapah daging hingga siap dimasak.

“Pemilihan gulai rusa membolehkan hidangan dinikmati ramai berbanding jika dimasak panggang atau barbeku, memandangkan bekalan daging terhad,” katanya.

Hasbul Hariz Helmy (kanan) bersama rakan-rakannya menikmati gulai rusa buat pertama kali.

Sementara itu, seorang pengunjung, Hasbul Hariz Helmy, 26, yang datang bersama empat rakannya dari TVET MARA Sungai Petani, Kedah berkata, pengalaman menikmati daging rusa adalah pertama kali bagi mereka.

“Tak sangka datang jalan-jalan kat karnival, boleh makan rusa. Kami datang nak berseronok, nak create moment sebelum tamat semester. Memang pengalaman yang menarik,” katanya.

Halimaton Ahmad.

Bagi, Halimaton Ahmad, 50, dari Teluk Kumbar memuji keenakan daging rusa dan rasa berbeza daripada daging lain yang pernah dicubanya.

“Pada mulanya, saya ingat kena bayar sebab tengok ramai orang beratur tapi rupanya percuma,” katanya.

Bagi Shahrul Nizam Omar, 43, pengalaman itu adalah kali pertama merasai hidangan rusa yang memberi kesan mendalam kepadanya.

Shahrul Nizam Omar.

“Saya tak pernah rasa daging rusa sebelum ini. Kuah gulainya pekat, daging lembut dan roti cicah kuah memang kombinasi terbaik. Malam ini memang pengalaman yang saya akan kenangkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast