Pendengaran prosiding hari ini diwakili oleh pembantu tadbir dan pembantu peribadi syarikat terbabit.

GEORGE TOWN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 14 April depan sebagai tarikh untuk membuat keputusan berhubung representasi yang dikemukakan oleh dua syarikat swasta, yang didakwa mengendalikan klinik perubatan swasta tanpa berdaftar di Jalan Rangoon.

Dua syarikat terbabit, RR Beaute Solutions Sdn Bhd dan CTA Training Academy Sdn Bhd dinamakan sebagai defendan dalam kes yang difailkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) itu.

Hakim Irwan Suainbon menetapkan tarikh berkenaan selepas Pegawai Pendakwa daripada KKM, Dr Mohd Fikri Mohammad Fishoul, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan masih memerlukan masa bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung representasi pembelaan.

Dr Mohd Fikri berkata, perkara itu berpunca daripada pihak terbabit tidak menyertakan dokumen berkaitan RR Beaute Solutions Sdn Bhd.

Sementara itu, Peguambela V. Parthipan berkata, pihak pembelaan telah mengemukakan surat representasi bagi CTA Training Academy Sdn Bhd pada 4 Mac lalu.

Bagaimanapun, menurutnya, terdapat beberapa percanggahan dalam representasi sebelum ini yang memerlukan dokumen tambahan.

Beliau menambah, pihak pembelaan akan mengemukakan representasi berasingan bagi RR Beaute Solutions Sdn Bhd kerana perbezaan fakta kes antara kedua-dua syarikat.

Pendengaran prosiding hari ini diwakili oleh pembantu tadbir dan pembantu peribadi syarikat terbabit.

Media sebelum ini melaporkan KKM mengambil tindakan saman kedua-dua syarikat kerana didakwa menyediakan perkhidmatan klinik perubatan swasta tanpa pendaftaran di bawah Seksyen 27, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 22 Oktober 2024, pukul 10.15 pagi di premis di Jalan Rangoon di sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(b) Akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dengan denda maksimum sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast