KUALA LUMPUR – Bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Siti Norma Yaakob yang pulang ke rahmatullah petang semalam, bukan sahaja meninggalkan sumbangan besar dalam institusi kehakiman negara, malah turut melakar sejarah peringkat antarabangsa.
Selaku perintis golongan wanita dalam hierarki kehakiman tertinggi negara, ketokohan Siti Norma turut diiktiraf dunia Arab ketika kaum hawa di negara itu dinafikan hak dalam pelbagai aspek.
Kejayaan allahyarham mengukir nama di luar negara dan bersidang bersama-sama barisan hakim di Emiriah Arab Bersatu (UAE), membuktikan pengiktirafan global terhadap kewibawaan sistem kehakiman negara.
Pada 2008, beliau dilantik sebagai hakim wanita pertama di UAE beribu pejabat di Dubai ketika kebanyakan wanita Arab masih terkongkong dari segi pendidikan.
Bukan setakat itu, golongan wanita di negara berkenaan ketika itu masih dihalang untuk menikmati peluang pekerjaan, kebebasan bersuara, berumah tangga termasuk perlu meminta izin wali (penjaga lelaki) untuk kebenaran melancong ke luar negara.
Namun di sebalik diskriminasi terhadap kaum wanita, allahyarham diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai salah seorang daripada enam hakim baharu di Mahkamah Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC) dengan mengendalikan kes-kes komersial antarabangsa yang kompleks.
Malaysia Gazette meninjau pencapaian Siti Norma yang mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik memegang jawatan tertinggi kehakiman negara yang ketika itu didominasi oleh hakim lelaki.
Kecemerlangan dan pengalaman beliau berjaya memecah tembok tradisi apabila dilantik sebagai hakim wanita pertama memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi (1983), Hakim Mahkamah Rayuan (1994) dan Hakim Mahkamah Persekutuan (2001).
Siti Norma kemudian dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada 8 Februari 2005 iaitu jawatan nombor tiga tertinggi dalam hierarki kehakiman selepas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Langkah beliau dalam kehakiman negara bermula pada 1963 apabila dilantik sebagai Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan selanjutnya memegang beberapa jawatan lain termasuk Presiden Mahkamah Sesyen dan Peguam Kanan Persekutuan.
Sepanjang 43 tahun perkhidmatannya, Allahyarham memberi penekanan supaya integriti dan kebebasan badan kehakiman diberi perhatian kerana mahkamah merupakan benteng terakhir bagi menegakkan keadilan kepada rakyat.
Sementara itu, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan memaklumkan Allahyarham yang merupakan Hakim Besar Malaya bermula dari 8 Februari 2005 hingga 5 Januari 2007 telah banyak berjasa kepada Badan Kehakiman Malaysia.
“Sepanjang lebih 40 tahun dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman, Allahyarham dikenali sebagai seorang tokoh kehakiman yang unggul dan telah mengatasi pelbagai halangan serta batasan dalam institusi kehakiman negara.
“Allahyarham juga dikenali melalui pelbagai penghakiman utama yang menjadi rujukan serta memperlihatkan kebijaksanaan dan kewibawaan beliau sebagai seorang hakim,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mewakili Badan Kehakiman Malaysia dan seluruh warga kerjanya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Siti Norma.
Sumbangan dan pencapaian Allahyarham turut membuka laluan kepada lebih ramai hakim wanita untuk menggalas tanggungjawab dalam jawatan tertinggi Badan Kehakiman, sekali gus menjadi contoh bahawa wanita mampu mencapai kedudukan tertinggi dalam institusi kehakiman.
“Sesungguhnya kepulangan Allahyarham ke rahmatullah merupakan satu kehilangan besar yang amat dirasai oleh seluruh warga kehakiman khasnya dan negara amnya,” menurut kenyataan itu.
Siti Norma, 85, meninggal dunia pada 1.51 tengah hari semalam di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, dekat sini, pada usia 85 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.
Anaknya, Meor Amri Meor Ayob, 56, ketika dihubungi Bernama mengesahkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir akibat pneumonia. – MalaysiaGazette
















