Foto: FB Tan Kar Hing

KUALA LUMPUR – Tindakan berlebihan ke atas ahli akademik dan aktivis yang tidak terlibat dalam isu perkauman dan agama mengundang persepsi mengelirukan seolah-olah kerajaan hari ini sedang mengasah `kuku besinya’.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Tan Kar Hing berkata, sekiranya kerajaan sedang mengetatkan kawalan sekali pun, ia harus terbatas kepada ucapan yang menghasut kebencian di media sosial.

Selain itu, tambah Ahli Parlimen Gopeng berkenaan, tindakan juga seharusnya dikenakan terhadap aktivis yang melaga-lagakan kelompok kaum dan agama berlainan, dengan sindiran dan label yang melampau.

“Apa yang memburukkan keadaan, golongan ahli akademik dan aktivis mula memandang serong ke atas reaksi Kerajaan Madani, kononnya polis cepat mengambil tindakan ke atas Syaza Shukri dan Pushpan Murugiah, tetapi teragak-agak untuk menyiasat mereka yang sedang melaga-lagakan kebencian dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, Kar Hing melahirkan kebimbangan terhadap laporan pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung pandangannya berkenaan dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan.

Kebimbangan sama disuarakan terhadap tindakan serupa ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Pushpan Murugiah selepas namanya muncul dalam satu e-mel terkait `individu amat berpengaruh’ terlibat dalam usaha menggugat kerajaan melalui sebuah organisasi media antarabangsa.

Menurut Kar Hing, walau apa pun tujuan soal siasat ke atas dua individu itu dilakukan, hakikatnya ia telah membina satu persepsi yang negatif dalam kalangan rakyat bahawa Kerajaan Madani cuba mengganggu, atau menakut-nakutkan ahli akademik dan aktivis.

Sedangkan, ujarnya, parti komponen dalam Kerajaan Madani terutama Pakatan Harapan (PH), diberi mandat rakyat atas janji untuk mendukung kebebasan bersuara.

“Selagi apa yang dibicarakan tidak memperlihatkan niat untuk menghasut sentimen perkauman dan agama, maka kebebasan bersuara itu harus kita pertahankan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan bahawa PH bangkit kerana menjanjikan sebuah kerajaan yang berintegriti.

Ujarnya, PH juga menjamin kebebasan bersuara dan berpersatuan, serta bertegas untuk menggariskan batas agar kebebasan tidak disalahgunakan untuk memprovokasi dan memporak-perandakan masyarakat, kerana mahu membina sebuah negara majmuk yang harmoni.

“Tiba masanya kita membina semula trust (kepercayaan) antara Kerajaan Madani dengan golongan cendekiawan dan aktivis yang cintakan keharmonian dan integriti, supaya kita tidak dilihat bagai kerajaan yang pernah kita tentang dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast