KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya parti itu sedang mewujudkan hubungan rapat dengan Pakatan Harapan (PH).
Muhyiddin berkata, tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan berniat jahat kerana cuba menjejaskan keharmonian dalam Bersatu serta hubungan antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat parti termasuk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang menentukan dasar dan hala tuju Bersatu.
“Tuduhan bahawa Bersatu sedang mewujudkan hubungan rapat dengan PH adalah tuduhan liar yang tidak berasas serta berniat jahat semata-mata.
“Ini untuk menjejaskan keharmonian dalam parti Bersatu dan antara parti-parti anggota PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang mendakwa hala tuju Bersatu ketika ini menimbulkan persoalan apabila banyak jawatankuasa penaja bahagian parti itu didakwa melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan PKR.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh rakan-rakan parti tersebut di seluruh negara yang melihat perkembangan tersebut berlaku selepas pembubaran beberapa bahagian Bersatu sebelum ini.
Sementara itu, Muhyiddin menegaskan, Bersatu mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta membela kebajikan rakyat.
Menurut beliau, sebarang kerjasama dengan mana-mana parti lain juga berpandukan prinsip perjuangan tersebut.
Katanya, atas prinsip itu, Bersatu mengasaskan PN bersama Pas sebelum gabungan tersebut turut disertai Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Menurutnya, PN kekal sebagai wadah terbaik untuk Bersatu merealisasikan perjuangannya dan parti itu tidak pernah berganjak daripada pendirian tersebut.
“Fokus Bersatu pada masa ini adalah untuk memperkukuhkan parti dan memperkuatkan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















