GOMBAK – Pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini hampir siap apabila mencapai 92.62 peratus kemajuan setakat Februari lalu dengan operasi komersial jajaran utama Kota Bharu ke Gombak dijangka bermula pada Januari 2027.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkembangan tersebut menunjukkan projek infrastruktur strategik negara itu berada di landasan baik selaras dengan jadual pelaksanaan yang ditetapkan.
Menurutnya, pembinaan landasan jajaran utama sepanjang 519 kilometer dari Kota Bharu ke Gombak juga telah berjaya disempurnakan menandakan satu lagi pencapaian penting bagi projek menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.
“Projek ECRL kini telah mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 92.62 peratus setakat Februari 2026, selari dengan jadual penyiapan jajaran dari Kota Bharu ke Gombak menjelang akhir tahun ini sebelum memulakan operasi komersial pada Januari 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Joint Lead Coordinator (JLC) bagi Pengurusan Risiko Pertukaran Asing Projek ECRL dan Penyempurnaan Pembinaan Landasan ECRL dari Kota Bharu ke Gombak di Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak hari ini.
Amir Hamzah berkata, projek ECRL merupakan projek infrastruktur strategik negara bernilai RM50.27 bilion yang dilaksanakan kerajaan bagi memperkukuh jaringan pengangkutan rel nasional serta merancakkan pembangunan ekonomi, khususnya di wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Bagi menyokong pelaksanaan projek tersebut, pembiayaan turut melibatkan pinjaman berjangka sebanyak RM37.40 bilion daripada The Export-Import Bank of China (CEXIM) dengan kadar faedah 3.25 peratus.
Dalam majlis sama, Amir Hamzah turut merasmikan pemeteraian perjanjian Joint Lead Coordinator (JLC) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan lapan institusi kewangan bagi mewujudkan mekanisme pengurusan risiko pertukaran asing melibatkan pembiayaan projek ECRL.
Beliau berkata, pengurusan risiko pertukaran asing merupakan komponen penting dalam pembiayaan projek antarabangsa yang melibatkan mata wang asing bagi memastikan kestabilan kewangan projek serta mengelakkan pendedahan kepada turun naik kadar pertukaran mata wang.
“Perjanjian JLC pertukaran asing pada hari ini adalah langkah strategik dalam mengukuhkan mekanisme pengurusan risiko supaya ia dilaksanakan secara lebih tersusun, telus dan berdisiplin,” ujarnya.
Majlis pemeteraian tersebut melibatkan MRL selaku pemilik projek bersama lapan institusi kewangan iaitu Maybank, CIMB, RHB Bank, AmBank, United Overseas Bank (UOB), Industrial and Commercial Bank of China (ICBC), Bank of China (BOC) serta China Construction Bank (CCB).
Kata Amir Hamzah, penglibatan institusi kewangan tempatan dan antarabangsa itu mencerminkan keyakinan tinggi terhadap struktur kewangan projek ECRL serta keupayaan sistem perbankan negara dalam menyokong pembiayaan dan pengurusan risiko projek infrastruktur berskala besar.
Katanya lagi, inisiatif tersebut juga memperkukuh tadbir urus kewangan, ketelusan serta akauntabiliti dalam pelaksanaan projek selaras dengan komitmen kerajaan Madani untuk memastikan setiap projek pembangunan negara dilaksanakan dengan tahap integriti dan disiplin fiskal yang tinggi.
Sementara itu, jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap menjelang Disember 2027 sebelum keseluruhan projek beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.
Apabila siap kelak, ECRL akan menjadi rangkaian rel elektrik sepanjang 665 kilometer merentasi negeri-negeri Pantai Timur dan Selangor sekaligus memperkukuh sistem pengangkutan rel negara serta menyediakan mod pengangkutan hijau bagi pergerakan penumpang dan kargo di Semenanjung Malaysia. -MalaysiaGazette
















