Datuk Abdul Malik Dasthigeer terus mengekalkan tradisi kebajikan dan amal jariah menganjurkan Majlis Sumbangan Hari Raya 2026 bagi membantu golongan kurang bernasib baik membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

KUALA LUMPUR – Butik emas dan berlian terbesar di ibu negara, MS Gold & Diamonds milik ahli perniagaan terkenal, Datuk Abdul Malik Dasthigeer terus mengekalkan tradisi kebajikan dan amal jariah menganjurkan Majlis Sumbangan Hari Raya 2026.

Majlis di Jakel Mall pada Sabtu itu menyaksikan seramai 1,152 anak yatim menerima sumbangan secara langsung sebagai sebahagian daripada keseluruhan 4,500 penerima bantuan yang telah dikenal pasti sepanjang Ramadan tahun ini.

Abdul Malik berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif tahunan syarikatnya bagi berkongsi rezeki serta meringankan beban golongan memerlukan khususnya menjelang Syawal.

Menurut beliau, usaha kebajikan itu juga menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial yang sentiasa diberi perhatian oleh pihak syarikat sejak penubuhannya.

“Setiap tahun kami berusaha untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, terutama anak-anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan supaya mereka juga dapat merasai kegembiraan menyambut Hari Raya.

“Bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk kita memperbanyakkan amalan kebajikan dan berkongsi rezeki. Semoga sumbangan ini dapat mengukir senyuman pada wajah mereka dan sedikit sebanyak membantu persiapan menyambut Syawal,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, program kebajikan itu juga bertepatan dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya untuk membantu golongan memerlukan termasuk anak-anak yatim, orang miskin serta mereka yang berada dalam kesusahan.

Selain bantuan kewangan, program tersebut juga memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk merasai suasana persiapan Aidilfitri yang lebih ceria dan bermakna.

Abdul Malik berkata, pihaknya berharap program tersebut bukan sahaja dapat membantu golongan memerlukan tetapi juga menyemai semangat keprihatinan dalam kalangan masyarakat dan sektor perniagaan.

“Sebagai sebuah syarikat yang berkembang dalam industri perniagaan emas dan berlian, kami percaya kejayaan yang diperoleh perlu turut dikongsi bersama masyarakat.

“Usaha kebajikan seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa kerana kami percaya setiap sumbangan walaupun kecil mampu memberi makna besar kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

MS Gold & Diamonds yang terkenal sebagai antara butik emas dan berlian terbesar di Kuala Lumpur turut dikenali dengan koleksi berlian unik yang ditawarkan kepada pelanggan.

Butik tersebut memiliki kira-kira 4,000 koleksi berlian dengan setiap satu direka dalam rekaan eksklusif dan hanya dihasilkan satu unit bagi setiap design, sekali gus menjadikan setiap koleksi yang ditawarkan mempunyai nilai keunikan tersendiri.

Selain menampilkan koleksi emas yang pelbagai, butik itu juga menjadi tumpuan pelanggan yang mencari rekaan berlian eksklusif dan istimewa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast