Gambar hiasan bas persiaran

PUTRAJAYA – Semua pengusaha bas ekspres dan bas persiaran diberi amaran terakhir dan digesa mematuhi arahan pemasangan alat peranti had laju (SLD).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, semua bas ekpres diwajibkan memasang SLD selaras penguatkuasaan Fasa 1 yang berkuat kuasa mulai 1 Oktober tahun lalu.

“Sehingga 16 Mac lalu, terdapat 12 peratus daripada 2,544 bas ekspres berdaftar yang aktif masih belum melaksanakan pengesahan seperti yang diwajibkan.

“Bagi kategori bas persiaran, 49 peratus daripada 3,371 kenderaan aktif masih belum membuat pemakluman pengesahan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar JPJ bersama Media, di sini semalam.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli

 

Tambah beliau, peratusan itu agak tinggi memandangkan tempoh pematuhan yang ditetapkan sebelum ini sudah berakhir.

“Kita memandang serius terhadap ketidakpatuhan, khususnya melibatkan bas persiran yang masih mencatatkan peratusan baki yang tinggi, meskipun keperluan pematuhan telah dimaklumkan kepada pengusaha sebelum penguatkuasaan bermula,” jelasnya.

Aedy Fadly menambah, JPJ akan melaksanakan penguatkuasaan khusus kepada pemeriksaan SLD menerusi Ops Hari Raya (HRA) di seluruh negara menjelang lebaran.

“Ops HRA 2026 akan menumpukan kepada pemeriksaan pengesahan SLD dan pemandu dikehendaki mempamerkan sijil pemgesahan SLD ketika ditahan.

“Sekiranya tidak mempunyai sijil pengesahan SLD, kita akan keluarkan notis 114 terlebih dahulu dan kenderaan perlu dibawa semula ke JPJ dalam tempoh 14 hari untuk pengesahan pemasangan SLD.

Tegasnya, tindakan lanjut akan diambil jika mereka tidak pasang atau mengesahkan pemasangan SLD. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast