Gangguan bekalan bahan api di beberapa wilayah selatan Thailand ketika ini masih belum stabil dan boleh menjejaskan pergerakan pelawat.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand sehingga isu bekalan petrol dan diesel yang sedang berlaku di negara itu diselesaikan sepenuhnya.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, gangguan bekalan bahan api di beberapa wilayah selatan Thailand ketika ini masih belum stabil dan boleh menjejaskan pergerakan pelawat.

Menurutnya, kekurangan bekalan itu menyebabkan stesen minyak di kawasan terlibat berdepan situasi kehabisan stok selain terpaksa mengehadkan jualan kepada pengguna.

“Rakyat Malaysia disaran menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand buat sementara waktu sehingga keadaan kembali pulih bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya kepada media.

Beliau berkata, keadaan itu boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada pengunjung termasuk kesukaran mendapatkan bahan api serta gangguan kepada perancangan perjalanan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai urusan penting di Thailand dinasihatkan supaya membuat persediaan rapi termasuk memastikan kenderaan diisi minyak secukupnya sebelum memasuki negara berkenaan.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa rakyat Malaysia supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Terdahulu, media melaporkan beberapa kawasan di selatan Thailand mengalami gangguan bekalan petrol dan diesel susulan isu logistik yang menjejaskan pengedaran bahan api di wilayah berkenaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast