Program Sufrah Malaysia di Madinah mendapat perhatian ramai jemaah Malaysia selepas ia tular di platform media sosial.

MADINAH – Jemaah umrah di sini yang merindukan masakan Malaysia boleh mendapatkan pelbagai hidangan tempatan itu di laluan keluar pintu 322 di Masjid Nabawi.

Ini kerana sajian seperti ayam masak lemak, ikan kicap, kari, nasi ayam, nasi kerabu dan pelbagai juadah tempatan lain disediakan kepada jemaah Malaysia di pekarangan masjid keagungan umat Islam di Madinah itu.

Pengurus Sufrah Malaysia Madinah, Abdul Qayyum Roslan berkata, sehingga kini lebih 60,000 pek makanan Malaysia itu disediakan pihaknya sejak ia dimulakan selepas pandemik Covid-19.

Abdul Qayyum Roslan.

“Sekurang-kurangnya 500 pek makanan diagihkan kepada jemaah pada setiap waktu berbuka sepanjang Ramadan.

“Program ini sudah dijalankan selama empat tahun hasil daripada kutipan orang ramai, kita menyantuni tetamu Allah SWT yang merindukan menu tempatan ketika berada di Arab Saudi.

“Inisiatif menyediakan juadah masakan tempatan ini kerana kita tahu jemaah mungkin jemu menikmati makan nasi Arab dan roti sepanjang di sini, maka tentulah mereka merindukan makanan kita,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Program itu dijalankan secara tahunan dan diuruskan pelajar Malaysia, termasuk dimasak oleh pelajar serta jemaah yang bermastautin di sini.

Jemaah akan mula berkumpul pukul 5.30 petang dan mengambil tempat di saf sebelum disiapkan sufrah iaitu plastik alas pelapik makanan untuk makan secara berjemaah selepas solat Isyak.

Mereka akan terlebih dahulu berbuka puasa dengan pek makanan seperti air mineral, yogurt, kurma, roti dan air kotak sebagai alas perut sebelum solat Magrib.

Sementara itu, bagi seorang jemaah Malaysia, Nur Liyana Othman yang berasal dari Kedah berkata, pengalaman berbuka bersama Sufrah Malaysia di Madinah membuka ruang untuk berkenalan dengan jemaah lain sambil mgerjakan ibadat.

Nur Liyana Othman.

Menurutnya, peluang berbuka di dataran Masjid Nabawi bersama jemaah Malaysia sememangnya mengubat kerinduan kepada tanah air.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat berkumpul dengan jemaah lain ketika bermusafir. Seronok sambil berbuka tambah kawan.

“Saya mengetahu program sufrah ini daripada kawan di Mesir yang berkongsi di media sosial dan mereka memaklumkan supata menunggu di pintu 322 masjid,” katanya.

Bagi Zindera Sofi, 21,  pelajar tahun dua di Universiti Sains Malaysia (USM) Karnataka Lingayat Education (KLE) cawangan India mengambil peluang menyertai aktiviti itu bersama rakan-rakan sekuliahnya.

Bagi Zindera Sofi.

“Kami buat umrah DIY (tanpa melalui ejen) bersama kawan-kawan di sini dan kami berasakan program sebegini membantu meringankan kos makanan ketika di negara orang.

“Yang seronoknya, berbuka dengan lauk Malaysia memang sedap kerana kami lama belajar di India, jadi dapat merasa makanan tanah air di sini,” katanya.

Sementara itu, Aniz Zabri yang merupakan pelajar Penbankan Islam di Zarqat Universiti, Jordan yang mengerjakan umrah berkata, program Sufrah Malaysia Madinah itu dapat menghimpunkan pelbagai masyarakat di samping memupuk perpaduan ketika di negara orang.

Aniz Zabri.

Kebanyakan masakan Asia yang dijual di sini mahal, jadi sangat berbaloi apabila dapat sertai program sufrah dan dapat bersedekah semula kepada jemaah lain di sini,” katanya. – 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast