KUALA LUMPUR — Hasrat Pas untuk memegang jawatan Ketua Pembangkang buat pertama kali dalam penggal Parlimen ini dilihat signifikan, namun persoalan siapa paling layak terus menjadi teka-teki hangat dalam kalangan pemerhati politik.
Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, jika jawatan itu benar-benar beralih kepada Pas, ia mencerminkan perubahan besar dalam landskap pembangkang negara.
Mengulas spekulasi yang mengaitkan Pengerusi PN baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, beliau berpandangan realitinya agak sukar untuk Menteri Besar Terengganu itu memegang peranan tersebut dalam masa terdekat.
“Secara praktikal agak sukar kerana beliau masih memegang tanggungjawab besar sebagai Menteri Besar Terengganu.
“Mengurus kerajaan negeri dan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen pada masa sama bukan tugas yang ringan. Lagi pun beliau masih bersifat pemimpin negeri,” katanya.
Menurut beliau, Perikatan Nasional (PN) ketika ini memerlukan seorang Ketua Pembangkang yang memiliki tiga kualiti utama iaitu kemampuan strategik di Parlimen, kredibiliti nasional dan keupayaan mengurus hubungan dalaman gabungan.
“Tanpa kemahiran mengurus koalisi dalaman, jawatan itu boleh menjadi sumber ketegangan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Awang Azman melihat Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan lebih menepati profil berbanding Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
“Takiyuddin lebih hampir kepada profil itu. Beliau mempunyai pengalaman sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) serta berpengalaman mengurus proses legislatif.
“Idris pula lebih menonjol dari segi komunikasi politik dan hubungan akar umbi, tetapi dari sudut teknikal Parlimen, Takiyuddin dilihat lebih sesuai,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau menegaskan jawatan Ketua Pembangkang yang kini menjadi milik Pas berpotensi mengubah keseimbangan kuasa dalam PN, khususnya antara Pas dan Bersatu.
“Ia signifikan dari sudut simbolik dan strategik. Pas kini merupakan parti dengan kerusi Parlimen terbanyak dalam blok PN,” katanya.
Tambahnya lagi, pelantikan pemimpin Pas boleh memberi kesan langsung terhadap dinamika dalaman gabungan itu.
“Ini kerana ia berpotensi menandakan bahawa Pas semakin dominan dalam gabungan itu. Jika diurus dengan baik, ia boleh memperkukuh PN.
“Tetapi jika tidak sensitif terhadap keseimbangan antara parti, ia juga boleh mencetuskan rasa tidak selesa dalam Bersatu,” jelasnya.
Terdahulu, PN memuktamadkan seorang Ahli Parlimen Pas bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyandang jawatan tersebut ketika ini, namun nama pengganti hanya akan diumumkan sebelum akhir Mac ini. — MalaysiaGazette
















