KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Isham Jalil mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia yang meningkat sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter bermula hari ini.
Bekas Ketua Penerangan UMNO itu berkata, ia kerana kebanyakan lori penghantaran barang menggunakan diesel dan tidak semua kenderaan pengangkutan itu dilindungi di bawah skim subsidi diesel.
“Diesel naik 80 sen ke RM4.72/liter! Kerajaan Anwar, kamu naikkan harga diesel hampir RM2 ringgit (+RM1.88) seliter dalam masa 3 bulan dari RM2.84 seliter pada Januari 2026 kepada RM4.72 seliter kini. Adakah ini langkah yang bijak?
“Kebanyakan lori penghantaran barang guna diesel dan tidak semua kenderaan pengangkutan ini dilindungi di bawah skim subsidi diesel. Bila kamu naikkan harga diesel mencanak mendadak sebegini apa akan jadi kepada harga barang?” soalnya katanya di Facebook.
Semalam, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia meningkat sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 19 Mac hingga 25 Mac ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, harga runcit petrol RON97 turut dinaikkan sebanyak 70 sen kepada RM4.55 seliter, manakala harga petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.27 seliter bagi tempoh sama.
MOF turut memaklumkan harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.
Dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui BUDI95 bagi melindungi isi rumah, manakala harga pasaran bahan api diselaraskan secara berperingkat selaras dengan kenaikan harga global sejak krisis tersebut bermula penghujung Februari 2026,” katanya. – MalaysiaGazette
















