Keluarga bahagia Malik Mishael dan Zaila Mohamed Ali ketika menyambut Aidilfitri.

KUALA LUMPUR – Penghijrahan seorang insan dari benua Afrika ke bumi bertuah Malaysia rupa-rupanya bukan sekadar satu perjalanan mencari rezeki, tetapi sebuah kembara takdir yang mempertemukannya dengan cahaya hidayah dan cinta sejati.

Bagi Malik Mishael Okafor, 46, tahun 2020 akan sentiasa terpahat sebagai garis masa paling keramat dalam kitab kehidupannya.

Pada saat dunia diselubungi kegelapan pandemik, Malik Mishael memilih untuk melafazkan syahadah dan membina mahligai kasih bersama suri hatinya, Zaila Mohamed Ali.

Malik Mishael membina mahligai kasih bersama suri hatinya, Zaila Mohamed Ali.

Namun, siapa sangka, fasa awal perkahwinan mereka diuji dengan kesunyian.

Syawal pertama mereka disambut dalam kepungan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tiada keriuhan sanak-saudara, hanya mereka sekeluarga meraikan Aidilfitri di celah tembok sunyi demi memutuskan rantaian Covid-19.

Namun, di sebalik kesayuan itu, Malik Mishael menemui satu ‘keajaiban’ di meja makan.

Aroma rendang ayam dan daging air tangan isterinya bukan sekadar mengisi perut, tetapi menjadi jambatan emosi yang menerbangkan jiwanya pulang ke tanah tumpah darah di Nigeria.

“Saya paling suka rendang. Rasanya sangat mirip dengan Ofe Akwu, iaitu hidangan tradisional di kampung halaman saya.

“Setiap kali suapan rendang singgah di mulut, rasa rindu pada keluarga di Nigeria seolah-olah terubat.

“Walaupun hanya kami sekeluarga, isteri tetap menghidang ketupat dan kuih-muih dengan penuh kasih,” kongsi Malik kepada MalaysiaGazette.

Bagi peniaga sulaman dan jahitan ini, setiap detik sebagai mualaf adalah madrasah yang mendidik jiwa.

Keluarga bahagia Malik Mishael dan Zaila Mohamed Ali ketika menyambut Aidilfitri.

Antara memori yang paling sukar dipadamkan adalah tradisi iftar ‘Ala Madinah’ di pejabat isterinya sekitar tahun 2022 hingga 2025.

“Tiga tahun kami berbuka puasa bersama dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Selepas makan, kami berjemaah menunaikan solat Maghrib di ruang terbuka… itu memberikan ketenangan yang luar biasa.

“Bagi saya yang masih baru mengenal Islam, momen itu membuktikan bahawa kita semua adalah sama di sisi Tuhan,” ceritanya lagi.

Rantai rindu itu akhirnya terurai pada Syawal 2022.

Buat pertama kalinya, Malik Mishael dibawa pulang ke kampung halaman isterinya di Merlimau, Melaka.

Pengalaman itu menyentuh tangkai hatinya apabila dia akhirnya dapat merasai erti ukhuwah sebuah keluarga besar yang sebenar.

“Saya sangat teruja. Dapat berdiri di saf yang sama dengan arwah bapa mentua dan abang ipar untuk solat sunat Aidilfitri di masjid kampung adalah momen yang sangat istimewa.

“Itulah kali pertama saya benar-benar merasa ‘memiliki’ keluarga di sini,” ujarnya.

Kini, selepas enam tahun membina kehidupan, fokus Malik Mishael hanyalah untuk menjadi payung pelindung buat isteri, tiga cahaya mata, serta ibu mertua yang kini dalam jagaannya.

Namun, di sebalik senyuman Syawal, tersimpan satu doa yang paling dalam buat anak bongsunya, Muhammad Ali Obinna yang kini berusia empat tahun.

“Saya berdoa agar Muhammad Aali diberi keajaiban untuk membesar sihat dan sembuh daripada cerebral palsy.

Malik Mishael bersama putera bongsunya Muhaamd Aali

“Sebagai bapa, itulah doa yang sentiasa saya panjatkan setiap hari untuk melihat dia sihat dan keluarga kami terus utuh dalam harmoni,” katanya.

Bagi Malik Mishael, Aidilfitri bukan sekadar tentang kemenangan menahan lapar dan dahaga, tetapi tentang pengorbanan, kasih sayang yang tidak bersempadan, dan kesyukuran atas nikmat keamanan di bumi Malaysia.

“Aidilfitri adalah saat untuk kami memugar kembali rasa kasih, apatah lagi kini saya turut memikul amanah menjaga ibu mentua.

“Inilah Syawal saya, Syawal dua benua,” katanya menutup bicara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast