Abdul Rozak santuni anggota di bawah pentadbirannya sempena Hari Raya Aidilfitri hari ini.

GEORGE TOWN – Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad meluangkan masa meninjau penugasan anggota barisan hadapan di enam balai polis di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

Lawatan yang berlangsung dari 12 tengah hari hingga 3 petang itu melibatkan Balai Polis Jalan Patani, Balai Polis Central, Balai Polis Tanjung Tokong, Balai Polis Lebuh Pantai, Balai Polis Dato Keramat dan Balai Polis Jelutong.

Menurut Abdul Rozak, lawatan bersempena Hari Raya Aidilfitri itu bertujuan melihat sendiri kesiapsiagaan anggota yang bertugas pada hari pertama perayaan selain memastikan operasi berjalan lancar.

“Lawatan ini diadakan bagi meninjau penugasan anggota-anggota barisan hadapan yang terus komited menjalankan tugas walaupun dalam suasana sambutan hari raya.

“Kehadiran pihak pengurusan tertinggi daerah juga bertujuan menyantuni anggota yang tidak berpeluang bercuti bersama keluarga pada musim perayaan ini.

“Selain itu, lawatan ini juga sebagai tanda penghargaan dan memberi motivasi kepada anggota-anggota yang bertugas demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan kuih raya kepada anggota bertugas sebagai simbolik penghargaan dan sokongan kepada mereka yang terus berkhidmat sepanjang Aidilfitri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast