GEORGE TOWN – Sepasang lelaki dan wanita warga tempatan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 Mac bagi membantu siasatan berhubung perbuatan tidak senonoh di sebuah jirat Cina di Ayer Itam, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas video kejadian itu tular di media sosial.
“Suspek wanita berusia 37 tahun ditahan kira-kira jam 8.35 malam Isnin di sebuah flat berhampiran Jalan Padang Tembak.
“Manakala suspek lelaki berusia 58 tahun pula diberkas kira-kira jam 11.10 malam di hadapan sebuah bangunan berhampiran Jalan Paya Terubong, Sungai Ara,” katanya hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Polis siasat pasangan berkelakuan tidak senonoh di jirat Cina
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun semalam berhubung kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada 22 Mac lalu di jirat Cina di Batu Gantung, Ayer Itam dan kedua-dua suspek terbabit juga mengaku terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang perbuatan tidak bermoral serta tidak menyebarkan kandungan jelik yang boleh menyinggung sensitiviti masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
















