KUALA LUMPUR – Tuduhan serius mengenai transaksi berjumlah RM9.5 juta yang dibuat Victor Chin terhadap seorang Ahli Parlimen kerajaan perlu disokong dengan fakta serta disalurkan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dijalankan secara profesional dan telus.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad berkata, dakwaan tersebut masih bersifat umum tanpa disertakan bukti kukuh, selain hanya merujuk kepada individu yang tidak dikenal pasti secara jelas.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya yang turut dikenali sebagai Altimet , pihaknya kekal berpegang kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.
“Tiada mana-mana individu yang akan dilindungi sekiranya terdapat bukti salah laku dan pada masa yang sama, tiada pihak harus dihukum melalui persepsi atau spekulasi tanpa asas yang sah.
Menurut Altimet, mana-mana pihak yang mempunyai bukti kukuh salah laku kepimpinan ahli harus terus melaporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk siasatan secara profesional, bebas dan menyeluruh bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan dengan segera.
Ketua Cabang Ampang itu turut menyifatkan, pendekatan terbabit penting bagi mengekalkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap kestabilan politik dan tadbir urus negara.
“Saya juga berpandangan kepada semua pihak, termasuk masyarakat dan pengamal media, untuk mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tegasnya, penyebaran dakwaan tanpa pengesahan bukan sahaja boleh mengelirukan rakyat, malah berpotensi menjejaskan keharmonian serta reputasi institusi negara.
Tambah Altimet, fokus utama kerajaan ketika ini kekal kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara di sebalik krisis dunia yang sedang berlaku.
Justeru, beliau berpandangan, sebarang percubaan untuk mengalih perhatian melalui naratif tidak berasas harus ditangani dengan bijaksana dan berlandaskan fakta. – MalaysiaGazette















