KUALA LUMPUR – Pasangan kekasih yang dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh di tanah perkuburan Cina di Batu Gantung, Pulau Pinang telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi mencabar sabitan dan hukuman terhadap mereka.
Rayuan itu difailkan oleh peguam Datuk Naran Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh, dengan alasan hukuman dikenakan adalah keterlaluan.
Kata beliau, pembelaan memohon mahkamah menyemak semula hukuman yang dijatuhkan terhadap anak guamnya.

Khamis lalu, Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas M Jegathesan dan Halila Abu Bakar selepas mereka mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah tanah perkuburan Cina di Batu Gantung, Ayer Itam pada jam 8.30 pagi, 22 Mac lalu.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun.
Berdasarkan fakta kes, kejadian terbongkar selepas video memaparkan aksi pasangan terbabit tular di Facebook.
Susulan itu, pengurusan tanah perkuburan mengarahkan satu laporan polis dibuat oleh individu yang menonton video berkenaan, sebelum siasatan lanjut dijalankan. – MalaysiaGazette
















