Perodua Alza remuk selepas merempuh penhadang jalan di Kilometer 155 Lebuhraya Utara Selatan, Tangkak, hari ini.

TANGKAK – Seorang lelaki maut manakala seorang kanak-kanak parah selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan di Kilometer 155 Lebuhraya Utara Selatan di sini hari ini.

Kejadian tersebut yang berlaku di susur keluar Bukit Gambir menghala ke selatan mengorbankan Sufaad Aini, 46, yang duduk di kerusi penumpang hadapan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khalid Mohd Aris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.42 petang.

Susulan itu katanya, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 10 kilometer.

“Kemalangan tersebut melibatkan tiga mangsa dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza. Lelaki tersebut tersepit di bahagian kiri penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir.

“Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun cedera parah di bahagian dada manakala seorang wanita berusia 41 tahun yang memandu kenderaan itu terselamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan MPV berkenaan terbabas sebelum merempuh besi pembahagi jalan.

Mohd Khalid berkata, mayat mangsa yang dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, operasi tersebut selesai pukul 6.23 petang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast