Ting Han (tengah) menyaksikan majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Pei Seng (kanan) dan Richard Zhou (kiri) di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Paragon Group Berhad menjalin kerjasama strategik dengan syarikat automotif, GSP Automotive Malaysia Sdn Bhd (GSP) membangunkan sebuah AutoPark di Iskandar Puteri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, projek tu merupakan langkah penting dalam mewujudkan kluster industri automotif baharu di negeri ini.

“Paragon Group Berhad menyediakan kawasan berkeluasan 47 ekar bagi membangunkan hab rantaian bekalan automotif bersepadu bersama GSP Automotive Group.

“Pelaburan fasa pertama dianggarkan berjumlah RM300 juta dan dijangka mewujudkan antara 600 hingga 700 peluang pekerjaan baharu dan dijangka siap menjelang akhir tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Paragon Globe dan GSP Automotive Group di Hotel Grand Paragon di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif GSP, Richard Zhou dan Pengerusi Eksekutif Paragon Globe Berhad, Datuk Seri Edwin Tan Pei Seng.

Beliau berkata, bagi fasa kedua pula, jumlah pelaburan keseluruhan berpotensi mencecah RM1 bilion, namun pelaksanaannya akan mengambil tempoh masa yang lebih panjang.

Menurut Ting Han, GSP memiliki rangkaian pengedaran global meliputi lebih 120 negara sekali gus menjadikan Johor sebagai hab strategik bagi aktiviti pembuatan dan pengedaran komponen automotif.

Tambahnya, pembangunan Autopark itu diharap dapat merancakkan pertumbuhan ekosistem automotif di Johor yang ketika ini masih belum setanding dengan negeri seperti Selangor dan Kedah.

“Dengan wujudnya AutoPark itu, GSP akan membangunkan fasiliti pembuatan, hab pengedaran automatik serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sekali gus membentuk hab rantaian bekalan automotif lengkap merangkumi pengeluaran, pengedaran dan inovasi.

“Usaha ini turut disokong oleh Kerajaan Persekutuan dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam menarik lebih banyak pelaburan sektor automotif ke Johor,” ujarnya.

Tambahnya, fokus kerajaan negeri bukan sekadar menarik pelaburan, tetapi membangunkan keupayaan industri tempatan termasuk pemindahan teknologi, pembangunan bakat, pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peningkatan produktiviti.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast