(Gambar hiasan) Logo Perodua pada kenderaan elektrik QV-E. Foto AIZAT ZAINAL, 01 DISEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Perodua menyambut baik penjelasan kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenai pendirian terhadap Dasar Automotif Negara (NAP) dan tujuan dasar berkenaan diperkenalkan iaitu untuk menggalakkan pelaburan yang boleh memberi manfaat kepada negara.

Perodua dalam satu kenyataan hari ini berkata, dengan adanya panduan yang selari dengan NAP, ekosistem industri automotif akan menjadi lebih kukuh dan boleh mewujudkan limpahan ekonomi yang signifikan, seterusnya memberi kebaikan kepada semua pihak yang berkepentingan.

Menurutnya, ini termasuk membuka peluang pekerjaan yang mampan dalam jangka masa panjang, pelaburan dalam prasarana, memperkaya modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), komitmen terhadap perkongsian teknologi dan teknikal serta pembangunan usahawan tempatan membabitkan pembekal dan pengedar tempatan.

Ujarnya, menerusi visi ‘Next Generation Vehicle (NxGV)’ yang digariskan di dalam NAP, rakyat Malaysia berpeluang menikmati nilai dan inovasi yang lebih hebat dalam aspek mobiliti yang mana ia boleh mendatangkan manfaat kepada majoriti rakyat di negara ini.

“Antara manfaatnya termasuklah tawaran perkhidmatan lebih luas dan memenuhi permintaan pelanggan oleh pemain industri, perkhidmatan mobiliti tambahan seperti aspek keselamatan yang dipertingkat serta integrasi mudah alih yang berasaskan teknologi Internet.

“Polisi, visi dan pelan hala tuju sedia ada yang digariskan oleh MITI berfungsi sebagai panduan yang komprehensif, telus dan konsisten untuk pemain industri automotif,” katanya.

Tambahnya, pujian harus diberikan kepada MITI di atas visinya menjadikan industri automotif Malaysia progresif dengan menyeimbangkan kemajuan dan keterbukaan untuk manfaat semua pihak.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, syarat yang dikenakan ke atas cadangan operasi pemasangan pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD di Malaysia adalah sebahagian daripada rangka kerja dasar automotif negara yang lebih luas serta tidak bersifat diskriminasi.

Menurut beliau, unit tempatan syarikat itu, BYD Automotive Malaysia Sdn Bhd (BYD) diluluskan Lesen Pembuatan Sementara (ML) pada 29 September 2025 untuk menjalankan pemasangan kenderaan penumpang cekap tenaga (EEV), termasuk kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan elektrik hibrid Plug-In (PHEV) di Tanjung Malim, Perak.

Lesen itu diberikan berdasarkan profil pengeluaran berorientasikan eksport, di mana sebahagian besar pengeluaran bagi pasaran antarabangsa bagi memanfaatkan 17 perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia dan rantaian bekalan serantau.

Lesen itu dikeluarkan bagi memastikan keselarasan dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), menggalakkan aktiviti bernilai tinggi, termasuk integrasi rantaian bekalan tempatan, pemindahan teknologi dan pengeluaran berorientasikan eksport serta mengelakkan gangguan pasaran dan memastikan pembangunan industri yang mampan.

“Syarat-syarat ini bukanlah khusus kepada BYD tetapi mencerminkan pendekatan konsisten yang digunakan ke atas semua pelaburan automotif baharu di Malaysia bermula September 2025, kecuali yang menggunakan kemudahan pemasangan tempatan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan MITI. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast