JOHOR BAHRU – Kira-kira 40,000 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini akan terjejas termasuk banyak yang berpotensi gulung tikar akibat kesan daripada krisis di Asia Barat.
Presiden Dewan Teraju Usahawan Bumiputera Negeri Johor (Teraju), Datuk Ismail Karim berkata, ini kerana impak yang akan dirasai lebih teruk daripada krisis kewangan pada 1997, pandemik Covid-19 atau mana-mana krisis sebelum ini.
“Situasi akan menjadi sangat kritikal bukan sahaja peniaga-peniaga besar tetapi juga PKS dan seluruhnya. PKS yang terjejas bukan sahaja melibatkan sektor makanan tetapi bermacam-macam bidang.
“(Contohnya produk) makanan tidak dapat diproses dan tidak dapat membekalkan makanan. Pergerakan mereka akan menjadi terhad (kurang produktif). Secara tidak langsung ini akan memberi kesan terhadap rantaian ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Malam Mesra Aidilfitri 2026 anjuran Teraju di Opero Hotel di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah, Naib Presiden II, Datuk Abd Latif Bandi dan Timbalan Pengerusi Biro Kontraktor Teraju, Datuk Seri Mohd Effandie Ahmad.
Sehubungan itu, Ismail berharap kerajaan akan membantu PKS dan peniaga lain yang memerlukan dengan memberikan mereka geran atau insentif supaya mereka dapat bertahan seperti diterima semasa Covid-19.
Ini termasuk memberikan moratorium supaya hutang dan pinjaman mereka kepada pihak bank dapat ditangguhkan supaya tidak terus terbeban.
Sementara itu, Abd Latif berkata, kesan daripada krisis tersebut sudah mula dirasai di negara ini apabila harga barang dan minyak naik, sekali gus memberi kesan terhadap sektor perniagaan.
Beliau bimbang sekiranya keadaan bertambah teruk, peniaga dan PKS terpaksa mengecilkan operasi termasuk membuang pekerja bagi menjimatkan kos.
“Apabila ini berlaku rakyat akan terkesan. Mereka hilang pekerjaan dan sumber pendapatan. Rakyat akan terdesak untuk hidup, bila tidak cukup maka boleh berlaku kucar-kacir. Akan berlaku kecurian dan sebagainya apabila sudah terdesak.
“Keadaan akan menjadi tidak stabil. Jadi kita harap dalam masa satu dua bulan ini akan berlaku perubahan dan peperangan dapat diredakan. Jika berterusan keadaan akan bertambah teruk,” katanya.- MalaysiaGazette
















