KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarah menjalankan audit serta siasatan segera terhadap syarikat pengendali treler yang mengakibatkan nahas sehingga meragut tiga nyawa di Segamat, kelmarin.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, syarikat berkenaan juga perlu dipertanggungjawabkan atas kegagalan memastikan disiplin pemandu mereka.
“Saya berharap pihak polis menyelesaikan siasatan kes ini secepat mungkin dan pemandu tersebut dihadapkan ke mahkamah dengan segera.
“Saya yakin pihak Peguam Negara akan mengarahkan pendakwaan tegas yang setimpal dengan kesalahan pemandu tersebut,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anthony Loke menziarahi keluarga mangsa di Hospital Segamat tengah hari tadi, dengan dua mangsa masih menerima rawatan dengan seorang kritikal dan ditempatkan di wad unit rawatan rapi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang kelmarin, tiga individu maut manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kejadian pada 3.45 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang dipandu seorang lelaki tempatan melanggar bahagian belakang sebuah van yang dinaiki mangsa.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, kejadian itu merupakan satu lagi kes kemalangan yang amat menyedihkan yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, kerajaan menyedari bahawa sebahagian besar pemandu lori bersikap profesional dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh disiplin, namun masih terdapat segelintir yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pemandu agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain. – MalaysiaGazette
















