Presiden Pas Abdul Hadi Awang berucap sempena Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR — Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa rakyat sekali lagi “ditipu” kerajaan susulan kenaikan harga minyak di Semenanjung, sambil mempersoalkan mengapa langkah sama tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

Menerusi kenyataan Minda Presiden Pas hari ini, beliau menegaskan tiada alasan kukuh untuk menaikkan harga minyak kerana Malaysia bukan negara yang terlibat dengan sekatan Iran di Selat Hormuz.

“Tidak ada sebab harga minyak dinaikkan di Semenanjung Malaysia, tetapi tidak di Sabah dan Sarawak kerana Malaysia tidak termasuk dalam sekatan Iran di Selat Hormuz.

“Hal ini disebabkan Iran menghargai ramai rakyat Malaysia  berani tidak berpihak kepada kerajaan yang masih ketakutan kepada Amerika Syarikat dan Israel, yang nyata penceroboh terhadap negara Islam berdaulat bersama Islamnya serta tidak menjadi ancaman kepada dunia kerana benar-benar mengharamkan senjata pemusnah yang melampau,” katanya.

Menurut beliau, alasan geopolitik yang digunakan kerajaan tidak munasabah memandangkan Malaysia mempunyai sumber minyak dan gas sendiri serta menjalin hubungan dengan negara Islam yang kaya sumber tenaga.

Abdul Hadi turut membangkitkan kenyataan terdahulu pemimpin kerajaan yang didakwa berjanji mampu menyelesaikan isu harga minyak dalam tempoh singkat, namun keadaan kini menunjukkan sebaliknya.

“Sebelum ini pernah membuat kenyataan yang berdegar-degar, boleh menyelesaikan isu harga minyak dalam masa kurang daripada 24 jam, tetapi hari ini bersikap penakut dan hilang dunianya dengan berperisaikan alasan kenaikan harga minyak bersama Amerika Syarikat dan sekutunya, yang sebenarnya berpunca daripada sekatan yang dilakukan oleh Iran.

“Hakikatnya, Malaysia tidak termasuk dalam negara yang disekat kerana rakyat negara ini menyokong Palestin dan Republik Islam Iran yang diceroboh,” katanya.

Beliau mendakwa, tekanan ekonomi negara bukan berpunca sepenuhnya daripada faktor luaran, sebaliknya berkait rapat dengan kebocoran dan salah laku dalam pengurusan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak mudah melupakan sejarah dan janji politik, sambil memetik amaran bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.

“Tun Dr Mahathir Mohamad, negarawan negara pernah memberikan amaran bahawa Melayu dan bumiputera jangan mudah lupa, termasuk lupa akan janji boleh menurunkan harga minyak dalam sekelip mata,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa umat Islam tidak seharusnya ditipu berulang kali dan perlu membuat penilaian secara matang terhadap kepimpinan negara.

“Malulah bangsa Melayu yang mengaku Islam ini sekiranya boleh ditipu berulang kali. Kali ini ditipu oleh murid penjajah yang paling pembohong dan telah menjadi pemimpin yang boleh diajak menari bersama di tengah padang dan di atas pentas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.