Oleh : Dr Azlizan Mat Enh
SELAT Hormuz sekali lagi menjadi titik panas geopolitik apabila ketegangan antara Iran, Amerika Syarikat dan sekutunya terus memuncak. Laluan strategik ini seperti yang sedia maklum mengendalikan sekitar 20 peratus aliran minyak global, menjadikannya antara choke point paling kritikal dalam sistem ekonomi dunia. Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, peningkatan kehadiran tentera laut, amaran keselamatan kepada kapal dagang, serta retorik keras antara pihak terlibat menggambarkan bahawa konflik ini tidak lagi bersifat retorik semata-mata, tetapi telah memasuki fasa tekanan strategik yang nyata.
Dalam konteks ini, Malaysia walaupun jauh secara geografi tidak terkecuali daripada kesan dan implikasinya. Dalam konteks ini, Malaysia walaupun jauh secara geografi tidak terkecuali daripada kesan dan implikasinya. Dalam dunia yang semakin saling bergantung, konflik di negara lain dengan pantas boleh merentasi sempadan dan memberi kesan kepada negara lain. Situasi ini menjadikan krisis di Selat Hormuz bukan lagi isu serantau semata-mata, tetapi satu cabaran global yang memerlukan perhatian serius. Bagi Malaysia, persoalan utama bukan sekadar memahami konflik yang berlaku, tetapi bagaimana negara ini mengurus kedudukannya dalam percaturan kuasa besar yang semakin kompleks.
Selat Hormuz: Dari laluan perdagangan ke senjata tekanan
Selat Hormuz bukan sekadar laluan minyak, tetapi telah lama menjadi instrumen geopolitik. Iran, yang mempunyai kedudukan strategik di pesisir selat ini, berupaya mempengaruhi aliran kapal melalui rondaan ketenteraan, sekatan taktikal, atau ancaman keselamatan. Dalam konflik terkini, Iran dilihat menggunakan pendekatan yang lebih berhati-hati iaitu bukan
menutup selat secara langsung, tetapi meningkatkan risiko keselamatan bagi kapal tertentu. Strategi ini membolehkan Tehran memberi tekanan kepada pasaran global tanpa mencetuskan konflik terbuka yang boleh mengundang tindak balas besar-besaran.
Pendekatan ini mencerminkan perubahan sifat konflik moden. Jika sebelum ini konflik berlaku dalam bentuk perang konvensional yang hanya melibatkan serangan ketenteraan secara langsung, tetapi hari ini kuasa-kuasa terlibat lebih cenderung menggunakan tekanan tidak langsung sebagai strategi utama iaitu usaha melemahkan pihak lawan tanpa perlu
berperang secara terbuka. Dalam konteks Selat Hormuz, ia boleh dilihat melalui tindakan seperti meningkatkan risiko keselamatan pelayaran, mengeluarkan amaran kepada kapal dagang, atau mengganggu aliran perdagangan secara terhad. Langkah-langkah ini cukup untuk menimbulkan ketidakstabilan pasaran dan tekanan ekonomi. Pada masa yang sama,
kesan psikologi turut memainkan peranan penting. Ketidakpastian terhadap keselamatan laluan ini boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan negara pengguna tenaga, sekali gus mempengaruhi harga minyak dan sentimen global.
Implikasi langsung kepada Malaysia
Bagi Malaysia, konflik di Selat Hormuz bukan sekadar isu antarabangsa, tetapi realiti yang boleh dirasai secara langsung oleh rakyat. Sebarang gangguan di laluan strategik ini berpotensi melonjakkan harga minyak global, seterusnya meningkatkan kos import tenaga dan memberi tekanan kepada kos sara hidup. Dalam masa yang sama, Malaysia sebagai negara perdagangan terbuka turut terdedah kepada gangguan rantaian bekalan yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi domestik. Dalam dunia yang saling bergantung, krisis di Timur Tengah tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi cabaran dalam negara. Lebih membimbangkan, isu keselamatan maritim juga semakin relevan, khususnya melibatkan kapal dagang Malaysia yang perlu melalui kawasan berisiko tinggi tersebut.
Diplomasi Malaysia: Antara prinsip dan realiti
Malaysia secara tradisinya mengamalkan dasar berkecuali serta menyokong penyelesaian konflik melalui pendekatan diplomasi, dan dalam konteks krisis di Selat Hormuz, pendirian ini kekal relevan. Namun, berkecuali dalam dunia hari ini tidak boleh ditafsirkan sebagai sikap pasif atau berkecuali tanpa tindakan. Sebaliknya, ia menuntut keupayaan strategik
untuk mengimbangi pelbagai kepentingan yang bertembung dalam sistem antarabangsa.
Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak, termasuk kuasa besar dan negara serantau yang terlibat, di samping mengelakkan sebarang keterlibatan langsung dalam konflik yang boleh menjejaskan kedudukan negara. Pada masa yang sama, kepentingan ekonomi nasional perlu terus dilindungi, khususnya dalam memastikan kestabilan perdagangan dan keselamatan laluan maritim. Dalam erti kata lain, dasar berkecuali Malaysia bukan sekadar prinsip, tetapi merupakan satu bentuk diplomasi aktif yang memerlukan kebijaksanaan dalam membaca situasi semasa.
Keupayaan ini tidak muncul secara tiba-tiba, sebaliknya dibina melalui hubungan diplomatik Malaysia-Iran yang telah terjalin sejak sekian lama. Kedua-dua negara telah menjalinkan hubungan rasmi sejak sekitar tahun 1970, dengan pembukaan kedutaan di Tehran dan Kuala Lumpur, serta pernah menandatangani perjanjian persahabatan seawal 1968 sebagai asas kerjasama dua hala . Selain itu, hubungan ini turut diperkukuh melalui kerjasama dalam platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), serta kerjasama ekonomi dan pendidikan yang berterusan.
Walaupun terdapat perbezaan tertentu dari sudut politik dan ideologi, kedua-dua negara secara konsisten mengekalkan saluran komunikasi dan hubungan diplomatik yang stabil. Kejayaan pendekatan ini dapat dilihat apabila Malaysia berjaya menggunakan saluran diplomatik untuk berunding dengan Iran sehingga kapal-kapal Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz dengan selamat. Dalam keadaan di mana tidak semua negara menikmati kelebihan yang sama, perkembangan ini memperlihatkan bahawa pendekatan Malaysia yang tidak konfrontatif serta tidak berpihak secara terbuka memberi ruang kepada kepercayaan dan kerjasama.
Malah, rundingan peringkat tertinggi antara pemimpin Malaysia dan Iran telah membolehkan kapal serta anak kapal Malaysia meneruskan perjalanan dengan selamat selepas sekatan dikenakan dalam konflik semasa . Berbanding negara yang terikat dengan blok kuasa tertentu atau terlibat secara langsung dalam tekanan terhadap Iran, Malaysia dilihat sebagai rakan yang lebih neutral dan boleh didekati. Justeru, kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan keberkesanan diplomasi Malaysia, tetapi juga menunjukkan bahawa dalam dunia yang semakin berpecah, pendekatan sederhana dan berprinsip masih mempunyai nilai serta berkeupayaan untuk menghasilkan impak yang jelas.
Kesimpulan
Krisis di Selat Hormuz mencerminkan realiti dunia hari ini konflik tidak lagi bersifat langsung, tetapi berlaku dalam bentuk tekanan, strategi dan percaturan kuasa. Bagi Malaysia, kekuatan sebenar bukan terletak pada keupayaan ketenteraan, tetapi pada kebijaksanaan diplomasi. Keupayaan untuk kekal neutral, sambil melindungi kepentingan nasional, merupakan satu bentuk kekuatan strategik yang semakin penting dalam era geopolitik moden. Dalam dunia yang semakin tidak menentu, keseimbangan bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.
Penulis adalah Profesor Madya dari Pusat Kajian Sejarah Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.















