PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan membenarkan Badan Peguam Malaysia meneruskan rayuan dalam usaha mendapat kebenaran untuk mencabar keputusan Peguam Negara (AG) menghentikan prosiding kes rasuah terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Yayasan Akalbudi.
Perkara itu ditentukan selepas panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Faizah Jamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin sebulat suara menolak bantahan awal Peguam Negara.
Mahkamah kemudian menetapkan rayuan itu didengar pada sesi petang bagi membolehkan panel tersebut mendengar rayuan kes berlainan.
Mahkamah Rayuan turut membenarkan Badan Peguam memasukkan keterangan baharu bagi menyokong rayuan tersebut. Permohonan itu tidak dibantah oleh responden.
Terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili Peguam Negara dan peguam-peguam Datuk S. Ambiga dan Steven Thiru yang mewakili Badan Peguam.
Ketika menyampaikan keputusan tersebut, Hakim Faizah berkata, keputusan Peguam Negara yang memohon Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada semua 47 pertuduhan rasuah dan seterusnya tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) kes itu, merupakan dua isu berbeza.
Pada pandangan mahkamah, fakta bahawa Badan Peguam telah memfailkan semakan kehakiman berhubung keputusan NFA, tidak menjadikan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman, sebagai akademik.
Ujar beliau, lagipun masih ada prosiding di Mahkamah Tinggi berlainan berhubung permohonan Ahmad Zahid untuk mendapat pembebasan penuh dan permohonan itu masih tertangguh sementara menunggu pelupusan rayuan di hadapan panel.
“Kami telah menimbang penghujahan pihak-pihak, kes undang-undang terdahulu yang dikemukakan yang mana kami tidak dihalang untuk mendengar rayuan yang mungkin menjadi akademik, tertakluk kepada kaveat bahawa bidang kuasa itu mesti dilaksanakan secara berhati-hati, bukan semata-mata kerana ia melibatkan kepentingan awam.
“Fakta bahawa Peguam Negara telah membebaskan Ahmad Zahid sebelum rayuan ini didengar, tidak menghalang mahkamah untuk mendengar rayuan penuh terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman.
“Oleh yang demikian, panel ini menolak bantahan awal Peguam Negara dan meneruskan pendengaran rayuan penuh,” ujarnya.
Badan Peguam merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang tidak membenarkannya memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara yang juga pendakwa raya.
Melalui permohonan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan beliau supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September 2023, dibatalkan.
Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah dan badan terbabit tidak memenuhi peruntukan bagi dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman.
Amarjeet turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga soalan Perlembagaan berhubung perkara berkaitan kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan mahkamah tertinggi itu. – MalaysiaGazette















