KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pusat jagaan kanak-kanak yang gagal mematuhi undang-undang serta mengabaikan aspek keselamatan penghuninya.
Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N. Sivakumar berkata, kewujudan pusat jagaan yang beroperasi secara cuai atau tidak bertanggungjawab merupakan satu perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan.
Menurutnya, insiden di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Sri Bala Illam di Batu Caves di sini jelas menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan yang perlu ditangani segera oleh pihak berkuasa.
“Berdasarkan laporan media, seorang kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa gangguan seksual secara berulang kali selain turut mengalami penderaan fizikal sepanjang berada di bawah jagaan pusat berkenaan.
“Perkara ini amat mengejutkan dan merupakan satu pelanggaran kejam terhadap hak asasi serta keselamatan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjalankan siasatan segera, menyeluruh dan telus bagi memastikan semua pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan.
Dalam masa sama, beliau menggesa supaya satu audit keselamatan dan pematuhan dilaksanakan secara mandatori ke atas semua pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negara.
“Audit ini tidak boleh sekadar di atas kertas. Ia mesti melibatkan pemeriksaan fizikal serta saringan latar belakang pengurusan dan kakitangan bagi memastikan tiada ruang kepada individu tidak layak mengendalikan pusat jagaan,” tegasnya.
Sivakumar turut menekankan peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bertindak lebih proaktif dan tidak hanya bergerak selepas sesuatu insiden berlaku.
“Mana-mana pusat yang gagal memenuhi piawaian keselamatan dan undang-undang perlu ditutup serta-merta tanpa sebarang kompromi atau rundingan,” tegasnya.
Beliau berkata, ketelusan dalam perkembangan kes juga penting bagi memastikan keadilan ditegakkan selain memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem perlindungan kanak-kanak di negara ini. – MalaysiaGazette















