JDT menang 4-1 menewaskan KL City dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, malam tadi. - Foto Johor Southern Tigers.

ISKANDAR PUTERI – Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) berhasrat menentang Selangor FC atau pun Kuching City FC pada pentas akhir Piala Malaysia 18 April ini.

Pengendali JDT, Xisco Munoz bagaimanapun tidak kisah untuk berdepan kelab mana sekali pun kerana apa yang penting dapat mempertahankan kejuaraan.

Menerusi kemenangan malam tadi, JDT semakin hampir melakar sejarah baharu Liga Malaysia memenangi kejuaraan quadruple (empat piala semusim) bagi empat tahun berturut-turut.

Ia selepas JDT mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City dengan agregat 8-1, malam tadi.

Skuad kendalian Xisco Munoz itu sebelum ini telah mengesahkan kejuaraan Liga Super 2025/2026 selain memenangi Piala Sumbangsih dengan menewaskan Selangor FC 3-0 dan menjulang Piala FA apabila menewaskan Sabah FC 5-0.

Katanya, ia tanggungjawab yang besar buat dirinya untuk mengemudi pasukan yang mantap bagi melakar lebih banyak kejayaan bersama JDT.

“JDT sekali lagi akan beraksi di pentas final dan semakin hampir untuk menambah koleksi trofi dalam kabinet kelab ini. Jadi, kita perlu pastikan Piala Malaysia tidak terlepas dari genggaman.

“Ini satu-satunya cara buat kami zahirkan rasa terima kasih buat Bos (Tunku Mahkota Ismail) yang sentiasa membuka ruang buat pasukan untuk menjadi lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.

Pada perlawanan malam tadi, Bergson Da Silva meledakkan dua gol manakala Syahmi Safari dan Ajdin Mujagic masing-masing menjaringkan satu gol bagi membantu pasukan menjinakkan KL City 4-1.

Sekiranya Munoz berjaya melengkapkan kejuaraan quadruple pada musim ini, beliau menjadi ketua jurulatih ketiga JDT mencatatkan rekod membanggakan itu selepas Esteban Solari (2023) dan Hector Bidoglio (2024).

Selain itu skuad Harimau Selatan akan memberi tumpuan pada aksi Liga Super seterusnya menentang Terengganu FC sebelum berdepan perlawanan terpenting dalam sejarah kelab pada aksi suku akhir Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) menentang pemenang antara Al-Ahli (Arab Saudi) dan Al-Duhail (Qatar).

“Siapa pun lawan kami, itu tidak menjadi masalah. Yang penting, JDT perlu mempersiapkan diri bagi memastikan kemenangan berada dalam genggaman,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast