KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengesan dan menahan semula Orang Kena Tuduh (OKT) yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, semalam.
Jabatan Penjara dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, operasi pencarian sedang giat dijalankan dan semua agensi keselamatan telah dimaklumkan bagi membantu usaha itu.
“Jabatan Penjara komited untuk terus memastikan keselamatan tahanan dan orang awam sentiasa terpelihara serta akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran prosedur,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Penjara mengesahkan seorang OKT meloloskan diri daripada kawalan pihak polis selepas selesai prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.
Menurutnya, kejadian berlaku pukul 6 petang semalam di pekarangan Penjara Sungai Buloh ketika dalam proses penghantaran OKT itu.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut semalam sebelum segera menggerakkan anggota untuk memburu suspek yang juga warga Pakistan yang ditahan reman.
Tahanan yang diburu itu dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, yang sedang berhadapan dengan pertuduhan serius termasuklah kes di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan (seks luar tabii), Seksyen 392 Kanun Keseksaan (rompakan) serta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. – MalaysiaGazette
















