Video tular memaparkan seorang pemandu bas ekspres memandu sambil seorang wanita duduk atas ribanya semasa dalam perjalanan dari TBS, Kuala Lumpur ke ke Larkin, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Syarikat bas ekspres Sri Maju Group serta-merta menamatkan perkhidmatan seorang pemandunya selepas rakaman video yang tular memaparkan lelaki terbabit memandu sambil seorang wanita duduk atas ribanya.

Sri Maju Group dalam satu kenyataan mengesahkan pemandu berkenaan merupakan kakitangan mereka dan kejadian itu berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur ke Larkin, Johor Bahru, semalam.

Syarikat berkenaan melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pemandu terbabit yang dilihat amat membimbangkan serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) serta etika profesional pemandu.

“Keselamatan dan keselesaan penumpang adalah keutamaan kami. Perbuatan tersebut adalah pelanggaran serius dan tidak boleh diterima sama sekali,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sri Maju Group memaklumkan, beberapa tindakan sudah diambil termasuk membuat laporan polis, menamatkan perkhidmatan pemandu terbabit serta melaporkan insiden kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk siasatan lanjut.

Syarikat berkenaan turut memohon maaf kepada semua penumpang dan orang awam yang terkesan, selain menegaskan komitmen mereka untuk memperketatkan sistem pemantauan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam semua bas.

“Sri Maju Group tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh mengancam keselamatan penumpang,” maklum syarikat bas terbabit.

Syarikat itu turut menjelaskan langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast