PUTRAJAYA – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM3.12 juta yang memberi manfaat kepada lebih 29,000 penerima di 112 lokasi seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hassan berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk institusi kewangan dan syarikat korporat.
Menurut beliau, bantuan diteruskan sempena Aidilfitri bagi meringankan beban golongan memerlukan dan bukan hanya difokuskan pada bulan Ramadan sahaja.
“Hari ini kita bersama warga YAPEIM melaksanakan majlis serahan sumbangan Aidilfitri yang berjumlah lebih kurang RM3.12 juta di mana memberi manfaat kepada lebih 29,000 penerima di 112 lokasi seluruh negara,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPIEM, Abdul Khudus Mohd Naaim.
Zulkifli menambah, program sumbangan itu turut mendapat sokongan daripada beberapa syarikat antaranya Hong Leong Islamic, Affin Islamic, McDonald’s, QSR Brands dan Nestlé.
Beliau turut memuji penglibatan sektor korporat yang membuktikan wujudnya kerjasama kukuh dalam menjayakan agenda kebajikan yang memberi impak langsung kepada rakyat.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, YAPEIM menetapkan sasaran tabung infak lebih besar tahun ini dengan RM70 juta bagi program kebajikan, pendidikan dan pembangunan ekonomi.
Jelasnya, sasaran itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan dalam memperluas capaian bantuan kepada lebih ramai penerima di seluruh negara.
“Tahun ini antara sasaran bagi aspek sosial dan kebajikan adalah sebanyak RM70 juta, merangkumi pembangunan ekonomi, masyarakat dan pendidikan,” katanya.
Pada masa sama, YAPEIM turut memperluas peranannya dalam aspek tadbir urus dan integriti melalui pelancaran kempen ‘Keep Malaysia Clean’.
Beliau berkata, kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu menjadikan YAPEIM sebagai antara agensi agama terawal memacu usaha berkenaan. – MalaysiaGazette















