Fergus Tierney. Foto FB MFL.

KUALA LUMPUR – Tonggak Sabah FC, Fergus Tierney bertekad mahu melunaskan misi peribadi dengan tampil dalam final kedua Piala Cabaran menentang Penang FC selepas terlepas peluang beraksi di pentas akhir pertama tempoh hari.

Tierney sebelum ini tidak dapat beraksi di Stadium Bandaraya selepas digantung perlawanan susulan dua kad kuning yang diperoleh dan kini bersedia untuk kembali menjadi taruhan.

Selepas jaringan tunggalnya menentang Selangor FC di Liga Super minggu lalu menjadi perhatian, sudah tentu pemain berusia 23 tahun ini enggan melepaskan peluang untuk terus menyumbang sesuatu kepada pasukan bagi membantu meraih trofi.

“Memang kali ini saya teruja untuk kembali diturunkan sebab tempoh hari (final pertama) saya hanya mampu melihat dari kerusi penonton sahaja.

“Saya harap saya dapat bantu pasukan ini sebaik mungkin dan tidak akan mensia-siakan sebarang peluang di depan mata.

“Kita semua pun memang sentiasa fokus untuk aksi final ini dan harapan saya adalah semua penyokong Sabah akan turun ramai-ramai memberikan motivasi tambahan kepada kami,” katanya.

Apa yang pasti, pertembungan itu akan menjadi semakin sengit terutama selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 untuk mereka berentap sekali lagi pada aksi timbal balik, Ahad ini.

Namun, Tierney positif semua pemain telah berada dalam momentum terbaik selain telah menilai kelemahan pasukan bagi memastikan mereka mampu menghadiahkan kemenangan di hadapan penyokong.

“Penang FC semakin hari semakin tunjuk belang dengan kekuatan mereka, jadi kita tidak boleh mengalah dan perlu berada pada tahap terbaik untuk dapat keputusan yang kita mahukan.

“Apa pun, selepas kita pulang dengan satu mata menentang Selangor minggu lalu, ia seakan jadi motivasi kepada kami untuk teruskan momentum seperti ini di final,” tambahnya.

Aksi final kedua Piala Cabaran akan berlangsung pada Ahad ini di Stadium Likas bermula pukul 8.15 malam. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast