Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Anggaran awalan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus, menyederhana daripada pertumbuhan 6.3 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi ekonomi Malaysia pada suku tahun pertama 2026 mencerminkan ekonomi yang kekal berdaya tahan secara asasnya, meskipun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat, khususnya kenaikan harga minyak berikutan ketegangan geopolitik.

Sektor pembuatan mengekalkan momentum positif dalam dua bulan pertama 2026, dengan pengeluaran berkembang masing-masing sebanyak 7.3 peratus dan 4.2 peratus, didorong terutamanya oleh industri berorientasikan eksport.

Perbelanjaan bermusim sempena Tahun Baharu Cina, di samping persiapan menjelang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, terus menyokong aktiviti ekonomi keseluruhan.

Faktor ini, seiring dengan penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta pelaksanaan fasa kedua semakan gaji penjawat awam, menyumbang kepada pertumbuhan yang stabil dalam jualan perdagangan borong dan runcit, yang meningkat sebanyak 7.3 peratus pada Januari dan 5.3 peratus pada Februari 2026.

Dari sudut luaran, aktiviti perdagangan kekal disokong oleh pengembangan berterusan dalam kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

Prestasi sektoral pada suku tahun pertama 2026 memperlihatkan momentum pertumbuhan ekonomi yang menyederhana merentas lima sektor utama.

Sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan KDNK secara keseluruhan 1Pengiraan anggaran KDNK awalan suku tahun pertama 2026 adalah berdasarkan kepada gabungan sumber data yang tersedia.

Secara umumnya, terdapat perbezaan antara anggaran KDNK awalan dan KDNK preliminari disebabkan oleh ketersediaan data dari pelbagai sumber semasa tempoh penyusunan dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus (ST4 2025: 6.3%).

Prestasi sektor ini didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, mencerminkan perbelanjaan pengguna yang kekal mampan, disokong oleh pasaran buruh yang stabil, peningkatan pendapatan isi rumah, serta pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan rakyat yang merangsang aktiviti isi rumah.

Sementara itu, subsektor maklumat dan komunikasi turut menyumbang kepada prestasi pada suku tahun ini yang disokong oleh peningkatan permintaan terhadap aktiviti berkaitan pusat data dan kecerdasan buatan.

Sektor pembuatan turut merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.8 peratus (ST4 2025: 6.1%), disokong sebahagian besarnya oleh peningkatan kukuh dalam pengeluaran Produk elektrik, elektronik dan optikal, serta produk minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan pemprosesan makanan.

Beliau menambah, sektor pembinaan mencatat pertumbuhan yang lebih sederhana pada suku tahun ini sebanyak 7.8 peratus (ST4 2025: 11.0%), disokong terutamanya oleh aktiviti pembinaan pertukangan khas serta bangunan bukan kediaman.

Sektor pertanian berkembang sebanyak 2.8 peratus (ST4 2025: 5.4%), didorong oleh pertumbuhan dalam subsektor kelapa sawit dan ternakan.

Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian merosot kepada negatif 1.1 peratus berbanding pertumbuhan 2.0 peratus pada suku tahun sebelumnya, sejajar dengan pengeluaran yang lebih rendah, khususnya bagi minyak mentah dan kondensat serta gas asli. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast