KUALA LUMPUR – Bermula ibarat kisah dongeng, Kuching City FC akhirnya melakar sejarah tersendiri apabila mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama selepas menewaskan Selangor FC dengan agregat 2-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Negeri, di sini, malam tadi.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu mencatat kemenangan 1-0 pada aksi separuh akhir kedua selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 5 April lepas.
Pada pertemuan itu, Kuching City memperoleh gol kemenangan menerusi jaringan Petrus Shitembi pada minit ke-30.
Selangor sekali lagi ditimpa malang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-52 selepas kapten skuad Gergasi Merah Mohammad Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah setelah semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan beliau melakukan kesalahan menghalang peluang jaringan.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon itu terus dirundung malang apabila seorang lagi pemain Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dibuang padang 11 minit kemudian susulan terjahan keras, sekali gus memaksa Selangor beraksi dengan sembilan pemain.
Kuching City bakal berdepan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), yang menepati ramalan menewaskan Kuala Lumpur City FC dengan agregat 8-1 pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini.
Sejarah penubuhan Kuching City bermula pada tahun 2015 selepas Liga Bola Sepak Rakyat diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FFAM) bagi mempromosikan bola sepak amatur di semua daerah dan negeri di seluruh Malaysia.
Oleh itu, Kuching FA ditubuhkan untuk mewakili daerah Kuching di Sarawak dengan menyertai Liga Bola Sepak Rakyat itu yang dianjurkan oleh Liga Bolasepak Rakyat Limited Liability Partnership (LBR-LLP) dengan kerjasama FAM.
Pasukan itu menjadi Juara LBR edisi pertama pada tahun 2016 apabila memenangi edisi sulung dengan mengalahkan Padang Besar 3-1 di Stadium Selayang.
Dengan kejuaraan itu, Kuching FA mendapat promosi automatik ke Liga FAM Malaysia 2017.

Pada musim pertama mereka di Liga FAM 2017, Kuching FA meraih tempat keempat dalam Kumpulan B, melayakkan pasukan ke play-off.
Mereka tersingkir di peringkat suku akhir kepada UKM FC, yang kemudian mendapat promosi ke Liga Premier Malaysia 2018 sebagai finalis play-off.
Musim kedua Kuching FA di Liga FAM 2018 menyaksikan mereka berada di tempat keempat dalam Kumpulan A sama seperti musim sebelumnya.
Malangnya, perubahan dalam kelayakan play-off menyaksikan mereka ketinggalan di peringkat kalah mati kerana hanya dua pasukan teratas dari setiap kumpulan yang dipilih.
Kuching FA layak bermain di Liga FAM 2019, tetapi juga diundang oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia untuk bermain di Liga Premier Malaysia 2019, ketika sejumlah pasukan menarik diri dari liga.
Untuk musim 2020, pasukan itu beraksi di Liga Premier Malaysia di mana pada pertengahan musim 2020, Kuching FA berubah nama menjadi Kuching City FC oleh Kuching City FC Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette
















