KUALA LUMPUR – Beberapa aspek pelaksanaan program Songkran Sunset Splash Run baru-baru ini didapati gagal dipatuhi sepenuhnya pihak penganjur melibatkan penggunaan air, impak kebersihan dan keselamatan awam bandaraya Kota Kinabalu.
Sehubungan itu, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkata, tindakan sewajarnya diambil terhadap penganjur selaras dengan peruntukan undang-undang dan garis panduan yang berkuat kuasa.
“Pihak penganjur juga telah diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta-merta bagi memastikan keadaan lokasi terlibat kembali seperti sedia kala,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, DBKK menegaskan pihaknya tidak terlibat secara langsung dalam penganjuran program tersebut.
Katanya, sebarang kelulusan yang diberikan kepada pihak penganjur tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat ketat yang telah ditetapkan sebelum ini.
Namun, katanya, DBKK memandang serius berkaitan isu kebersihan.
Menurutnya, penganjuran program larian digalakkan kerana memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan di samping menggalakkan gaya hidup sihat.
“Program julung kali itu diakui berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung serta mewujudkan suasana riang, namun pematuhan peraturan tetap menjadi keutamaan yang tidak boleh diabaikan.
“DBKK ingin mengingatkan semua penganjur acara di masa hadapan agar sentiasa mematuhi syarat kelulusan dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kesejahteraan orang awam,” tegasnya.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Aliakbar Gulasan mendakwa penganjuran festival Songkran Sunset Splash Run pada Sabtu lalu, sebagai pembaziran ketika sebahagian penduduk berdepan masalah bekalan air di beberapa tempat sekitar Sabah.
Menerusi video berdurasi satu minit 31 saat yang dimuat naik di media sosial, beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai pertanyaan dan persoalan berhubung festival berkenaan yang diadakan di Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette
















