KUALA LUMPUR – Sehingga Ahad lalu, sebanyak 23 notis kompaun dikeluarkan kepada ‘ulat foto’ selain 28 sitaan peralatan dalam Op Lens.
Penyitaan peralatan turut dibuat terhadap tujuh ‘ulat foto’ bukan warganegara dan notis kepada empat individu untuk hadir ke mahkamah kerana gagal membayar kompaun terdahulu, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“DBKL mengeluarkan sejumlah empat notis kompaun terhadap individu yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran serta membuat tiga sitaan keatas pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit,” katanya menerusi kenyataan.
Operasi yang dijalankan pada Ahad lalu menumpukan kawasan tumpuan sekitar Pintasan Saloma dan persiaran KLCC dilaksana dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN).
“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan menerusi kesalahan dibawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya.
Tambah DBKL, JIM dan JPN turut memeriksa 31 individu melibatkan dokumen pengenalan diri termasuk empat orang individu telah diberikan surat akuan penahahan dokumen JPN menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959 di bawah Peraturan 21(1)(c), Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) untuk hadir dan siasatan lanjut kesahihan dokumen pengenalan diri serta status kerakyatan individu-individu berkenaan.
“DBKL akan terus komited memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan kekal selamat daripada aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran yang menyalahi undang-undang, menimbulkan risiko keselamatan, kacau ganggu kepada pengunjung termasuk halangan dan kelancaran lalulintas,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















