Kereta dan barang-barang yang dirampas daripada suspek yang melakukan samun di sebuah kedai serbaneka di Iskandar Puteri, semalam

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki selepas mengacukan pisau terhadap seorang pekerja wanita di kedai serbaneka di Gelang Patah dekat sini semalam dan melarikan wang tunai RM96.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa pada pukul 9.45 pagi semalam.

“Mangsa mendakwa kejadian samun itu berlaku pada pukul 1.20 awal pagi ketika sedang bekerja sebelum seorang lelaki tempatan membawa pisau mengacu kepadanya dan meminta untuk menyerahkan wang dari mesin juruwang.

“Bertindak atas maklumat pada pukul 4 petang semalam hingga 11.50 malam tadi, sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah Iskandar Puteri  menjalankan tindakan mengesan suspek dan berjaya membuat tangkapan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek merupakan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun, hasil semakan mendapatinya tidak memiliki rekod lampau jenayah atau dadah.

Kata Kumarasan, hasil saringan awal air kencing  didapati negatif dadah.

Menurutnya, menerusi tangkapan itu polis merampas kereta dan barang-barang sepertipisau, sarung mula, sepasang sarung tangan serta sepasang pakaian.

Suspek ujar beliau, ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tempoh tujuh hari mulai hari ini sehingga 27 April ini.

Tambahnya, siasatan juga sedang dijalankan bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu merompak.

Jika disabitkan kesalahan katanya, boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi 14 tahun dan denda atau sebatan.

Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan iaitu merompak dengan bersenjata atau menyebabkan kematian atau cedera dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dikenakan sebatan, katanya.

“Polis Daerah Iskandar Puteri akan terus komited bekerjasama dengan masyarakat bagi membanteras sebarang perlakuan jenayah,” katanya.

Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 @ hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Kereta dan barang-barang yang dirampas daripada suspek yang melakukan samun di sebuah kedai serbaneka di Iskandar Puteri, semalam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast