KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) , Luqman Long hari ini membuat laporan polis terhadap Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) atas dakwaan cuba menimbulkan persepsi negatif kepada beliau.
Beliau yang mendakwa MCMC merakam dan menyebarkan gambarnya ketika sedang disoal siasat tanpa kebenaran berkata, tindakan tersebut adalah tidak wajar.
“Hari ini kami hadir bersama-sama ke pejabat polis untuk membuat satu laporan polis berkaitan dengan tindakan MCMC, di mana kami rasa tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agak tidak wajar dan prejudis,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.

Luqman yang juga Pengasas Bersama MUDA menegaskan, beliau telah memberi kerjasama penuh kepada pihak MCMC dengan hadir ke pejabat agensi itu pada 20 April bagi membantu siasatan berkaitan videonya yang mengkritik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Sementara itu, peguamnya, Saiyidah Izzati Nur menambah, tindakan MCMC mengaburkan muka anak guamnya dalam gambar yang dikepilkan bersama kenyataan media itu boleh menimbulkan persepsi negatif.
“Kenyataan media yang dikeluarkan juga memberikan persepsi negatif kepada anak guam kami seolah-olah beliau seorang suspek, sedangkan beliau hadir untuk memberikan kerjasama penuh,” katanya yang turut hadir ke IPD Dang Wangi, hari ini.
Terdahulu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dilaporkan memandang serius tindakan MCMC terhadap Luqman yang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain mempersoalkan penyiaran imej tanpa kebenaran yang didakwa boleh membentuk persepsi buruk terhadap individu terlibat. – MalaysiaGazette
















