Foto FB JDT.

KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menghukum Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mengenakan denda sebanyak AS$7,000 (RM27,700)  susulan kesalahan dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berdepan Al-Ahli pada Jumaat lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika badan induk itu mengikut Artikel 53 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana salah laku pasukan sepanjang perlawanan di Stadium King Abdullah Sports City Hall.

Berdasarkan keputusan berkenaan, seramai tujuh individu termasuk pemain dan pegawai yang mewakili skuad JDT dikenakan tindakan oleh pengadil sepanjang perlawanan yang berkesudahan Harimau Selatan tewas 1-2 kepada kelab Arab Saudi itu.

“Johor Darul Ta’zim FC (MAS) diarahkan membayar denda sebanyak AS$7,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Artikel 53.1 Kod Tatatertib dan Etika AFC yang dibaca bersama Artikel 3.1 Pekeliling Tatatertib Liga Juara-Juara Asia Elite 2025/26.

“Denda itu hendaklah diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan ini, selaras dengan Artikel 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC,” kata AFC dalam keputusan itu.

Walaupun berdepan denda, skuad Harimau Selatan masih menjadi antara pasukan yang meraih ‘habuan’ besar susulan penyertaan dalam kejohanan tertinggi Asia itu selepas memperoleh kira-kira RM6.7 juta sepanjang perjalanan mereka hingga ke suku akhir.

Jumlah itu termasuk RM3.16 juta bagi penyertaan mereka di kejohanan itu dan memperoleh RM1.2 juta hasil daripada tiga kemenangan di peringkat liga (Zon Timur).

Ganjaran tambahan turut diperoleh JDT selepas mara ke pusingan 16 dan suku akhir yang mana skuad Harimau Selatan menerima RM790,000 dan RM1.6 juta.

JDT mencipta sejarah sebagai kelab Malaysia pertama mara ke kelompok lapan terbaik ACLE, sekali gus menetapkan penanda aras baharu buat pasukan tempatan di pentas Asia.

Selain ganjaran dalam bentuk kewangan, JDT turut memberi sumbangan besar kepada kedudukan Malaysia selepas mengutip 21.500 mata untuk ranking ranking MA negara. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast