GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan hasil siasatan berhubung insiden anggota polis didakwa menggunakan kekerasan ketika tangkapan suspek di Kulim, Kedah akan didedahkan kepada umum sebaik sahaja siasatan selesai.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika ini dua siasatan sedang dijalankan secara serentak melibatkan aspek jenayah dan tatatertib.
Beliau turut menegaskan siasatan akan dijalankan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak yang didapati melakukan salah laku.
“Siasatan jenayah dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 akta sama, manakala satu lagi siasatan tatatertib dijalankan bagi menilai sebarang pelanggaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota terlibat.
“Sebenarnya SOP tangkapan dah (sudah) pun ada, bukan tak ada dan dalam konteks kes insiden di Kulim, tindakan kita dah ambil dan siasatan dibuat.
“Bagi ruang untuk kita menyiapkan siasatan dan kita akan maklumkan hasil serta tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas sama ada PDRM akan memperkemaskan SOP tangkapan di lapangan.
Terdahulu, Ayob Khan merasmikan forum perdana anjuran Penang Crime Consciousness and Public Safety Society (CCPSS) di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas isu penggunaan kekerasan, Ayob Khan menjelaskan bahawa SOP sememangnya membenarkan penggunaan kekerasan minima dan munasabah, khususnya apabila berdepan suspek yang melawan atau mengancam keselamatan.
“Memang ada SOP yang telah ditetapkan dan kita boleh menggunakan kekerasan minima, namun terdapat situasi tertentu menjadi ‘grey line’ dalam menentukan tahap kekerasan yang sesuai, bergantung kepada reaksi suspek ketika kejadian,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Polis pijak kepala suspek: Dedahkan hasil siasatan JIPS kepada umum
JIPS siasat kes polis lakukan kekasaran terhadap suspek di Kulim
Terdahulu, Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menggesa hasil siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) berhubung insiden anggota polis didakwa menggunakan kekerasan ketika tangkapan suspek di Kulim, Kedah didedahkan kepada umum sebaik sahaja siasatan selesai.
Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, ketelusan berhubung dapatan siasatan itu penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis terus terpelihara, selain menjamin akauntabiliti terhadap sebarang salah laku.
Media pada Selasa lalu melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan atau menghukum mana-mana pihak hanya berdasarkan rakaman video pendek berhubung insiden tular membabitkan dakwaan seorang anggota polis memijak kepala suspek di Kulim, Kedah.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakaman yang tersebar di media sosial hanya memaparkan detik singkat tanpa menggambarkan keseluruhan situasi ketika kejadian berlaku.
Selain itu, polis turut mengesahkan anggota terbabit telah dipindah ke bahagian lain sementara menunggu siasatan pihak JIPS. – MalaysiaGazette
















