Akmal Nasrullah Mohd Nasir merasmikan Program Dasar Peluang Kedua-Pelepasan Fast Track 2026 Jabatan Insolvensi Negeri Johor di IPGKTI, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Langkah mitigasi bagi memastikan rantaian bekalan cukup di pasaran akan menjadi tumpuan kerajaan, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, langkah itu susulan peningkatan kadar inflasi 1.7 peratus pada bulan lalu berbanding 1.4 peratus pada Februari lalu.

“Kesan penyumbang terbesar kepada peningkatan inflasi adalah daripada segi pengangkutan yang dipengaruhi kenaikan kos bahan api susulan konflik di Asia Barat.

“Cumanya, kenaikan itu agak sederhana kerana dari segi tindakan atau dasar kerajaan cuba mengimbangi antara tujuan fiskal dan tujuan mengawal inflasi dalam perbelanjaan harian rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Dasar Peluang Kedua-Pelepasan Fast Track 2026 Jabatan Insolvensi Negeri Johor di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim (IPGKTI), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Ishak Bakri.

Katanya, setakat ini kerajaan menumpukan soal menguruskan kesan geopolitik itu dari segi isu bekalan yang mampu didapati bagi memastikan sektor ekonomi terus berjalan.

Akmal Nasrullah menambah, ketika ini kerajaan tidak melihat kepada kerangka yang lebih mengubah soal permintaan semata-mata seperti menaikkan gaji minimum.

“Isunya masih di peringkat bekalan dan juga input-input kepada rantaian nilai produk kita.

“Contohnya penghasilan tanaman yang memerlukan baja, input baja itu yang kita kena tengok agar bekalan cukup supaya aktiviti pertanian berlaku.

“Begitu juga untuk industri perbuatan dan sebagainya, sekiranya kekurangan bekalan ini berlaku, maka dia ada implikasi dari segi kegiatan produktiviti. Jadi kita perlu pastikan aktiviti ekonomi terus berlaku seterusnya memastikan soal harga dapat diimbangi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah mengambil kesempatan melawat mesin layan diri, salah satu projek IPR Insan di IPGKTI yang baru ditempatkan pada minggu lalu.

Projek itu diluluskan kerajaan pada 2023 bertujuan membasmi kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamarataan selaras dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast